Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu jadi rakan kongsi setara, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad yakin, jika semangat dan persetujuan di bawah MA63 dihayati dan dilaksanakan, segala kemusykilan dapat dileraikan.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, negara dapat mengatasi sebarang kesukaran jika semua pihak terus menghayati dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.

Bekas perdana menteri itu berkata, sebagai negara berbilang kaum, tidak dapat dinafikan ada kalanya timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Ia perlu dinilai dan dicari satu titik pertemuan supaya hubungan kita tidak terlerai.

“Kerana itu, kita menyokong permintaan supaya Perjanjian Malaysia (MA63) didokong sepenuhnya dan kita terima Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah 3 wilayah yang bergabung sebagai rakan kongsi setara

“Apabila ini tercapai, sudah pasti kita boleh maju ke depan dengan langkah yang lebih gigih dan jitu,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Mengimbau pengisytiharan Persekutuan Malaysia oleh Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, Mahathir berkata, perasaannya bercampurbaur pada masa itu.

“Bangga, kerana Persekutuan Tanah Melayu akan bersama Borneo Utara yang kemudian dikenali sebagai Sabah, Sarawak dan Singapura akan bergabung untuk membentuk negara besar Malaysia.

“Saya juga berdebar-debar kerana pembentukan itu mendapat tentangan agak hebat dari beberapa negara jiran.”

Katanya, banyak yang dilalui selepas 57 tahun pembentukan Malaysia.

“Singapura telah keluar, tetapi keutuhan hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak bertambah kukuh dan terus disemai.”