2 suspek warga Malaysia buruan pihak berkuasa AS direman

Dua suspek yang diburu pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) kerana disyaki terbabit pengubahan wang haram dan jenayah komputer di negara itu kini direman selepas ditahan di Perak pada 14 September lalu.

PETALING JAYA: Dua individu yang diburu pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) kerana disyaki terbabit pengubahan wang haram dan jenayah komputer di negara itu berjaya diberkas polis pada 14 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, tangkapan itu dilakukan sekitar 8.45 pagi di Perak.

“Suspek pertama, 40-an, merupakan seorang ahli perniagaan manakala suspek ke-2 berusia lingkungan 30-an, bekerja sebagai juruanalisa komputer,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa AS menghantar permohonan ekstradisi pada 3 September terhadap kedua-dua suspek dan Jabatan Peguam Negara bersetuju melaksanakan permohonan itu selaras peruntukan bawah Akta Ekstradisi 1992 serta triti ekstradisi antara kerajaan Malaysia dan AS.

“Pada 11 September, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran pemberkasan sementara terhadap kedua-dua suspek dan membenarkan permohonan reman selama 60 hari bawah Seksyen 16(1) Akta Ekstradisi serta Artikel 11(4) triti ekstradisi antara kerajaan Malaysia dan AS.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman di penjara Sungai Buloh,” katanya.

Huzir berkata, hasil siasatan kedua-dua suspek menjalankan perniagaan secara tidak sah dan pihak forensik merampas bahan bukti dan dokumen berkaitan di syarikat milik mereka.

Ia susulan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada Rabu yang mendakwa 5 warga China dan 2 ahli perniagaan Malaysia terlibat dalam penggodaman meluas yang menyasarkan syarikat permainan video sehingga aktivis pro demokrasi.

Pendakwa raya AS turut mendakwa 2 ahli perniagaan Malaysia, Wong Ong Hua, 46, dan Ling Yang Ching, 32, yang didakwa bersubahat dengan 2 pengintip digital itu untuk mengaut keuntungan daripada pencerobohan komputer, menyasarkan syarikat permainan video di AS, Perancis, Jepun, Singapura serta Korea Selatan.

DoJ berkata, 2 tertuduh itu beroperasi melalui sebuah firma Malaysia dikenali sebagai “SEA Gamer Mall”. Mesej yang dihantar kepada syarikat itu dan alamat e-mel yang didakwa dikendalikan penggodam tidak dijawab.

Semalam, Penolong Peguam Negara AS untuk Keselamatan Negara, John Demers berkata 2 tertuduh dari Malaysia itu sudah ditahan, tetapi mereka mungkin membantah untuk diekstradisi.

DoJ berkata, ia sudah mendapat waran geledah bulan ini yang menyebabkan rampasan ratusan akaun, pelayan, nama domain dan laman web “dead drop” yang digunakan penggodam untuk membantu mencuri data daripada mangsa mereka.