5 sekeluarga terbunuh insiden tembakan di Thailand

Timbalan jurucakap polis Krissana Pattanacharoen berkata polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui 5 mayat, terdiri 2 lelaki, 2 perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki, terbaring berlumuran darah di rumah teres 2 tingkat itu.

BANGKOK: Polis Thailand sedang menyiasat kejadian tembakan di sebuah rumah di daerah Thung Khru, Bangkok pagi ini yang menyebabkan 5 sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun terbunuh.

Timbalan jurucakap polis Krissana Pattanacharoen berkata, polis Thung Khru dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 8.30 pagi (waktu tempatan).

Beliau berkata, pegawai polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui 5 mayat, terdiri 2 lelaki, 2 perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki, terbaring berlumuran darah di rumah teres 2 tingkat itu.

Menurut beliau, polis mengenal pasti mangsa terdiri kanak-kanak lelaki, ayah dan ibunya serta datuk dan nenek kanak-kanak itu.

“Pihak berkuasa turut menjumpai sepucuk pistol separa automatik berada di tangan kanan bapa kanak-kanak itu.

“Polis memeriksa tempat kejadian dan mengumpulkan bukti tambahan untuk siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Krissana berkata, siasatan awal mendapati keluarga itu memiliki sebuah kedai alat ganti kenderaan. Motif sebenar kejadian masih disiasat.

Semua mayat dihantar ke Hospital Siriraj untuk bedah siasat.

Media tempatan melaporkan jiran terdengar tembakan pada awal pagi, sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mayat bergelimpangan dalam rumah berkenaan.