Anggap Sarawak parokial takkan bantu penyatuan negara, kata Abang Johari

Abang Johari Openg berkata, Sarawak hanya mahukan kuasa yang terhakis secara sengaja atau tidak sengaja dikembalikan, tidak lebih atau tidak kurang daripada itu.

SIBU: Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg berkata, tindakan menganggap negeri itu parokial atau kedaerahan tidak akan membantu penyatuan negara.

Dari perspektif Sarawak, katanya, Malaysia perlu berbalik kepada fundamental penubuhannya seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa antara Kerajaan (IGC).

“Saya yakin pengiktirafan terhadap fundamental ini akan memperkukuhkan lagi semangat kenegaraan kesemua bahagian negara ini terhadap Malaysia dan bukan sebaliknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu malam tadi.

Beliau berkata, Sarawak hanya mahukan kuasa yang terhakis secara sengaja atau tidak sengaja dikembalikan, tidak lebih atau tidak kurang daripada itu.

“Saya gembira melihat perbezaan antara kerajaan persekutuan dan negeri, kerajaan Sarawak terutamanya, diuruskan menerusi mekanisme perundingan termaktub dalam Perlembagaan atau pendekatan secara persahabatan yang diterima kedua-dua pihak berdasarkan peraturan undang-undang.”

Katanya, Sarawak mencapai banyak pembangunan dalam tempoh 57 tahun sejak penubuhan Malaysia, namun belum lagi mampu mengejar pembangunan khususnya di Semenanjung.

“Rundingan yang masih berjalan berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia menghuraikan ini dan menerusi pertemuan minda dalam satu persekitaran yang sopan dan penuh hormat.

“Kami semua yakin dan berharap penyelesaian yang bakal dilihat ialah tiada siapa pun yang rugi dan yang lebih penting tiada pengurangan dalam hak perlembagaan, perlindungan khas dan status yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak.”

Beliau berkata, adalah penting bagi Sarawak untuk terus mengorak langkah ke arah persada pembangunan lebih intensif agar mampu menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030, selain mengambil pendirian situasi “menang-menang” kerana konfrontasi berterusan akan membawa kerugian kepada semua pihak.

Berdasarkan aspirasi ini, katanya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pimpinannya sedang berusaha memajukan Sarawak dalam bidang pertanian komersial, aktiviti pengeluaran, perlombongan, ladang hutan, pelancongan, perkhidmatan berteraskan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar.

“Petronas telah memberi komitmen untuk menjelaskan SST (cukai jualan negeri) 5% kepada kerajaan Sarawak dan mengiktiraf hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958.”