Kenapa wujud panel baru Kabinet bincang hak MA63, soal ahli Parlimen DAP

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii mempersoal kesungguhan kerajaan mengembalikan hak Sarawak.

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii hari ini berkata, tiada keperluan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet yang lain untuk mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hadir ke Sarawak untuk mengumumkan penubuhan jawatankuasa baru untuk mengkaji hak kami yang hilang di bawah perjanjian itu.

“Tetapi, ia sudah terdapat sebuah jawatankuasa khas Kabinet yang ditubuhkan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada ketua menteri Sabah dan Sarawak serta pemimpin dari 2 negeri itu, pakar perundangan, ahli akademik dan aktivis.

“Daripada 21 isu yang berbangkit, 17 sudah dipersetujui bersama dan sedia untuk dilaksanakan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Yii berkata, jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) ikhlas dalam mengembalikan hak autonomi Sarawak yang terhakis sejak sekian lama, ia sepatutnya mendedahkan pencapaian jawatankuasa Kabinet mengenai MA63 sebelum ini di Parlimen.

“Kenapa simpan semua ini di bawah Akta Rahsia Rasmi? Ia berkaitan hak kami dan kami sepatutnya diizinkan untuk memantau dan meneliti apa yang telah dibincangkan dan dipersetujui. Kami tidak sepatutnya membiarkan kesilapan silam yang menyaksikan hak kami diambil tanpa perbincangan dengan rakyat.”

Yii berkata, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk tidak menubuhkan jawatankuasa pilihan khas pelbagai pihak Parlimen untuk memantau pelaksanaan MA63, walaupun ia dipersetujui semasa pemerintahan PH.

“Ini menunjukkan mereka tidak serius dalam mengembalikan hak kami, tetapi cuba menangguhkan isu ini dan menjadikannya janji manis sebelum pilihan raya yang akan datang,” kata Yii.

Muhyiddin berkata mesyuarat Kabinet pada 9 September bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas MA63 yang dipengerusikannya.

Ahlinya termasuk ketua menteri Sabah dan Sarawak, manakala menteri persekutuan dan ahli yang lain akan dilantik berdasarkan kesesuaian, kelayakan dan kepakaran mereka.

Jawatankuasa khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu yang relevan, kata beliau dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu.