Muhyiddin rasa denyut nadi rakyat Sabah mahu perubahan

Muhyiddin Yassin bergambar bersama pemimpin Barisan Nasional dan Perikan Nasional di Darau hari ini.

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dapat merasai denyut nadi rakyat Sabah yang mahukan perubahan.

Beliau berkata, lawatan ke Sabah kebelakangan ini termasuk ke beberapa tempat hari ini memberi gambaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semakin diterima dan mampu membentuk kerajaan.

“Tadi saya ke Beaufort, begitu ramai sekali orang, kemudian saya ke Kuala Penyu juga ramai, begitu juga di Kinarut dan di sini (Darau),” katanya pada majlis ramah mesra rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau hari ini.

Hadir sama calon Barisan Nasional (BN) DUN Darau, Jumat Idris dan DUN Karambunai, Yakub Khan

Muhyiddin berkata, rakyat Sabah kini sudah sedar hanya kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan saja mampu membangunkan Sabah.

“Kerajaan persekutuan yang ada ketika ini iaitu kerajaan Perikatan Nasional sebuah kerajaan yang berfungi, kita tidak akan membiarkan sesiapa tertinggal di belakang termasuk juga rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, Yakub dalam ucapannya berkata keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu membawa rahmat bagi negara ini.

“Kalau PH tidak tumbang, kita tidak akan dapat melihat pemimpin yang begitu baik sekarang ini, beliau (Muhyiddin) hadir tepat pada waktunya.

“Perdana menteri pada hari ini bukan sekadar bercakap, tetapi dia buat dan bukannya macam negeri ini kononnya rakyat dapat RM300 bantuan Covid-19 tetapi tiada siapa menikmatinya di Sabah,” katanya.

Yakub berkata, rakyat Sabah tidak harus melepaskan peluang untuk menolak kerajaan Warisan Plus dan menggantikannya dengan GRS yang dilihat mampu membawa negeri ini ke peringkat lebih jauh lagi.

“Kita harus buktikan, jika kita sayang Sabah, kita harus mempertahankan negeri ini yang semakin terhakis bawah pimpinan Warisan.

“Kononnya menolak parti dari Semenanjung tetapi kerajaan Warisan terbentuk dengan parti apa? PKR dan DAP ini parti apa?,” katanya.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah