Pecat pemberi maklumat, SPRM dakwa pegawai kanan syarikat esok

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata pertuduhan itu adalah yang pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan dikuatkuasakan pada 2010.

PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan syarikat akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 8.30 pagi esok kerana menyebabkan seorang kakitangan syarikat dipecat selepas memberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan salah laku tertuduh.

Tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 10 (3) (b), Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711). Pertuduhan itu adalah yang pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan dikuatkuasakan pada 2010.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata pihaknya tidak teragak-agak menjalankan siasatan terhadap pihak yang cuba mengenakan tindakan memudaratkan ke atas pemberi maklumat.

Katanya, pertuduhan berkaitan kes itu diharap memberi isyarat kepada masyarakat supaya tidak gentar dalam memberikan kerjasama kepada agensi penguatkuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

“Pertuduhan berkaitan kes ini juga diharap memberi pengajaran kepada pihak yang cuba mengenakan tindakan ke atas pemberi maklumat,” katanya.