Perdagangan tembakau haram terjejas akibat kawalan Covid-19

Kerajaan kerugian RM5 hingga RM6 bilion dari segi hasil cukai tidak dikutip setiap tahun akibat penyeludupan rokok.

PETALING JAYA: Penurunan dalam jualan rokok seludup di seluruh Asia baru-baru ini memberi pemahaman kepada pembuat dasar mengenai kaedah lestari untuk menangani perdagangan haram itu.

Menurut laporan Japan Tobacco International (JTI), kawalan pergerakan dan penguatkuasaan sempadan yang ketat di negara Asia akibat pandemik Covid-19 menyukarkan sindiket jenayah menerima dan mengedarkan rokok seludup.

Rokok yang diseludup dari negara seperti Indonesia dan Thailand boleh dijual serendah RM3 sebungkus di Malaysia serta menjadikannya sebuah industri bernilai lebih dari RM5 bilion setahun.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Edward Cheah memberitahu FMT, strategi berkesan untuk memerangi perdagangan haram itu ialah meneruskan penambahbaikan terhadap langkah kawalan yang mengehadkan pergerakan penyeludup.

“Untuk membendung penyeludupan, pintu masuk ke Malaysia perlu mempunyai lebih banyak sistem dan infrastruktur berkesan yang tidak mampu ditembusi penyeludup.

“Agensi penguatkuasaan perlu memiliki sumber lebih baik dan akses kepada maklumat untuk memerangi kegiatan penyeludupan.”

Cheah mendapati kerajaan terdahulu menaikkan cukai sebagai langkah tidak menggalakkan orang ramai merokok, namun langkah percukaian hanya akan meningkatkan permintaan terhadap produk haram.

“Kajian secara meluas menunjukkan pelaksanaan duti tinggi tidak menghalang atau mengurangkan corak penggunaan.

“Fokus perlu diberikan kepada penguatkuasaan dan menangguhkan kenaikan cukai ketika ini untuk memastikan permintaan bagi produk haram tidak meningkat.”

Pengarah Urusan JTI, Cormac O ‘Rourke berkata, jualan rokok haram tidak hanya merugikan syarikat, tetapi juga negara secara keseluruhan.

“Di Malaysia, penyeludupan rokok ialah perniagaan besar bagi kumpulan jenayah dan menyebabkan kerajaan rugi antara RM5 hingga RM6 bilion dalam hasil cukai tidak dikutip setiap tahun,” katanya kepada FMT.

“Ini adalah wang yang boleh digunakan lebih baik untuk meningkatkan prospek ekonomi bagi semua rakyat Malaysia.”

O’Rourke berkata, syarikatnya mencadangkan beberapa langkah memerangi penyeludupan kepada kerajaan, termasuk larangan pemindahan rokok dalam kapal.

Ketika melakukan pemindahan, katanya, sebuah kapal kargo boleh membuang muatan secara haram ketika melakukan transit di negara perantara.

Cheah bersetuju pemindahan dalam kapal kargo perlu ditangani dengan melaksanakan sistem tidak mampu ditembusi penyeludup untuk mengawal kegiatan keluar masuk mereka.

Beliau mencadangkan deposit dalam jumlah sama dengan duti belum dilunaskan yang boleh “diambil dan dikembalikan selepas pemindah kargo dapat membuktikan penghantaran sudah keluar ke negara ke-3”.