Teka-teki harga, tarikh keluaran Playstation 5 akhirnya terjawab! Masuk pasaran November ini

Harga pasaran konsol permainan video Sony Playstation 5 (PS5) turut didedahkan syarikat itu di akaun rasmi media sosial. (Gambar Twitter)

Jun lalu peminat konsol permainan video Sony dikejutkan dengan keluaran edisi terbaru apabila syarikat itu mendedahkan gambar rupa bentuk konsol Playstation 5 (PS5).

Peminat, sebelum ini, berteka-teki tentang harga dan tarikh rasmi keluarannya.

Terbaru, Sony mengumumkan PS5 akan menemui peminat di pasaran bermula November ini. Ya, lagi sebulan lebih!

Bukan itu sahaja, Sony turut mengumumkan harga pasaran konsol itu bermula AS$499.99 (kira-kira RM 2,073.46).

“Jumpa anda November ini!” tulis ringkas syarikat itu menerusi akaun rasmi di Twitter berserta gambar konsol versi elegan campuran warna hitam dan putih itu.

“Tempahan awal PS5 akan tersedia seawal esok di peruncit terpilih,” tambahnya.

Barangan elektronik terkemuka itu juga bakal hadir dalam bentuk Digital Edition (versi digital) yang tidak mempunyai pemacu cakera dengan harga bermula AS$399.99 (kira-kira RM 1,658.76).

Pelancaran global PS5 dijangka bermula 12 November ini di beberapa buah negara terpilih termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Kanada, Australia dan Korea Selatan.

Ia bakal dilancarkan di negara lain pada 19 November.

Sony turut memberi gambaran kepada peminat dengan lebih banyak judul permainan baru akan hadir termasuk Resident Evil Village, Project Athia, Hitman III dan Solar Ash.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]