Bersih gesa SPRM siasat PM atas dakwaan ‘pancing undi’

Muhyiddin Yassin (2 dari kiri) menyerahkan replika cek lebih RM60 juta kepada wakil nelayan dan petani dalam sebuah majlis di Beaufort, Sabah semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin cuba “memancing undi”.

Pemantau pilihan raya itu memetik laporan Muhyiddin menyerahkan replika cek lebih RM60 juta kepada wakil nelayan dan petani dalam sebuah majlis di Beaufort, Sabah semalam.

“Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya menyatakan mana-mana orang yang memberikan wang atau sebarang balasan bernilai untuk mempengaruhi pengundi semasa pilihan raya dianggap melakukan kesalahan rasuah.

“Dilaporkan juga beliau (dalam ucapannya) telah mengulangi gesaan untuk orang Sabah memilih parti yang selari dengan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bersih mendakwa Muhyiddin cuba memancing pengundi di Sabah mengundi parti dan calon yang bersekutu dengan kerajaan Perikatan Nasional.

Ia turut menggesa orang ramai yang menghadiri acara itu membuat laporan polis mengenai apa yang mereka dengar.