China dakwa 1.3 juta warga Xinjiang terima ‘latihan vokasional’ setiap tahun

China mendakwa 1.3 juta warga Xinjiang diberi ‘latihan vokasional’ setiap tahun dari 2014 hingga 2019. (Gambar AP)

PETALING JAYA: China mengeluarkan kertas putih pada Khamis, mendakwa wilayah Xinjiang memberikan “latihan vokasional” kepada hampir 1.3 juta pekerja setiap tahun dari 2014 hingga 2019, menurut laporan South China Morning Post.

Ia muncul ketika Beijing berdepan kritikan semakin meningkat dari Barat dan kumpulan hak asasi manusia susulan polisinya, dipercayai menahan sekurang-kurangnya 1 juta etnik Uygur dan minoriti Islam lain di kem tahanan.

China dituduh melakukan pendoktrinasi politik terhadap tahanan selain kerja paksa di kem, tetapi menafikan tuduhan berkenaan dan menegaskan ia adalah “pusat latihan vokasional”, tempat mempelajari bahasa dan kemahiran pekerjaan.

Pemerhati berkata, kertas putih dari Dewan Negara Kabinet China itu mungkin pendedahan kali pertama “secara tidak langsung” mengesahkan skala kem berkenaan.

Bertajuk “Hak Buruh dan Pekerjaan di Xinjiang”, kertas putih itu menyatakan kerajaan tempatan mengatur “Latihan berorientasikan pekerjaan pada percakapan dan tulisan standard bahasa China, pengetahuan undang-undang, pengetahuan umum untuk kehidupan bandar dan kemahiran buruh” untuk memperbaiki struktur tenaga kerja dan memerangi kemiskinan.

“Kalau mengambil kira titik permulaan pembanterasan ekstrem diambil oleh kerajaan China pada 2014, kenyataan ‘1.3 juta orang dilatih setiap tahun dari 2014 hingga 2019’ adalah amat dekat dengan angka tahanan (dalam kem) yang diramal oleh pengkritik Barat,” kata ahli akademik berpangkalan di China yang enggan namanya disiarkan.

“Tetapi China tidak melihat bangunan yang menjalankan latihan itu sebagai kem tahanan. Apa yang mahu ditegaskan (dalam kertas putih) ialah untuk membalas kritikan Barat.”

Shih Chien-yu, pensyarah di Universiti Tsing Hua Taiwan berkata laporan itu memberikan angka buat kali pertama dalam program pendidikan semula di Xinjiang.

Katanya, kemungkinan ia respons Beijing terhadap Akta Pencegahan Buruh Paksa Uygur yang dibahas Kongres AS.

“Saya rasa laporan kertas putih itu sangat lemah. Ia hanya cuba menjelaskan kepada AS bahawa ‘Saya tidak buat apa-apa dan ia hanya salah faham’,” katanya.