Individu masuk Sarawak melalui Sabah perlu buat ujian Covid-19

Rakyat Sarawak yang perlu berulang-alik ke Brunei dan Sabah untuk tujuan kerja, mereka perlu mengambil surat khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana bahagian masing-masing di Miri dan Limbang. 

KUCHING: Sarawak mewajibkan semua termasuk warga asing yang ingin memasuki negeri itu dari Sabah menjalani ujian Covid-19, 3 hari sebelum memulakan perjalanan berkuat kuasa Isnin ini.

Timbalan Ketua Menteri I Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Douglas Uggah Embas berkata, mereka juga perlu mengisi borang “EnterSarawak” dalam talian dengan menyertakan dokumen sokongan diperlukan.

Bagi rakyat Malaysia yang menaiki penerbangan dari Pulau Pinang, ujian Covid-19 akan dijalankan secara rawak setibanya mereka di Lapangan Terbang Kuching.

“Bagi rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara, mereka akan dikuarantin di ‘First Point of Entry’ di Sarawak,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi rakyat Sarawak yang perlu berulang-alik ke Brunei dan Sabah untuk tujuan kerja, mereka perlu mengambil surat khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana bahagian masing-masing di Miri dan Limbang.

“Mereka (pekerja yang berulang-alik) juga dikehendaki mengambil ujian Covid-19 setiap 2 minggu di samping sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.