Kenapa Malaysia tak ikut pelan vaksin, soal persatuan perubatan

Kementerian Kesihatan sebelum ini berpendirian tidak mahu tergesa-gesa menyertai pelan itu berikutan perlu mempertimbangkan beberapa perkara membabitkan pembangunan vaksin dari negara luar. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Putrajaya lebih telus dalam rancangannya mendapatkan vaksin Covid-19 untuk negara ini.

Ia susulan Malaysia dilaporkan tidak termasuk dalam senarai 172 negara yang mendaftar untuk platform pembangunan vaksin global, Covax.

Presidennya Dr N Ganabaskaran berkata, rakyat berhak mengetahui mengapa Malaysia tidak menandatangani pelan vaksin Covax, kerana tarikh tutup bagi negara yang merancang mengambil bahagian berakhir hari ini.

“Walaupun KKM memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan melebihi tarikh tutup pelan itu, rakyat mesti tahu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba perlu memberi respons segera atau beliau perlu menjawab kepada rakyat nanti mengapa Malaysia menangguhkan pelan mendapatkan vaksin Covid-19.

Covax adalah sebuah platform yang dikoordinasi bersama sebuah pakatan vaksin global, GAVI, Gabungan bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia dibentuk bagi mencegah negara daripada membolot vaksin Covid-19 di pasaran, selain memfokuskan untuk mengutamakan vaksin kepada golongan berisiko tinggi.

Terdahulu, sebanyak 76 negara kaya termasuk Jepun, Norway dan Jerman komited menyertai pelan itu yang menyasarkan untuk membantu pembelian dan edaran bekalan yang lebih bersifat adil.

“MMA percaya walaupun Malaysia mempunyai rundingan bilateral sendiri untuk sesuatu vaksin, mendaftar dengan pelan vaksin Covax boleh menjadi pilihan tambahan yang akan menjamin akses ke vaksin untuk Covid-19,” katanya.

Katanya, di sebalik pertimbangan terhadap isu keselamatan dalam pembangunan vaksin yang dikesan pantas itu, mana-mana vaksin yang berpotensi akan dinilai secara menyeluruh melalui prosedur ketat oleh Kementerian Kesihatan untuk keberkesanan dan keselamatan, sebelum diisytiharkan selamat untuk digunakan.