Pegawai JKR positif Covid-19 dirawat di Hospital Sungai Buloh

Jabatan Kerja Raya berkata pada 10 September lalu pegawai itu dilaporkan hadir ke Dewan Negara di Parlimen dan ke mesyuarat pewartaan jalan di bilik tanjung di blok A, Kementerian Kerja Raya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pegawai ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19 dan sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, kelmarin.

JKR dalam kenyataan hari ini berkata, pegawai itu dimaklumkan positif Covid-19 oleh Hospital Umum Sarawak ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kuching, Rabu lalu.

Katanya, pegawai berkenaan sebelum itu hadir di pejabat yang terletak di Jalan Sultan Salahuddin pada 7, 8, 9 dan 11 September lalu.

“Pada 10 September lalu, pegawai itu dilaporkan hadir ke Dewan Negara di Parlimen dan ke mesyuarat pewartaan jalan di bilik tanjung di blok A, Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Manakala, pada 12 dan 13 September lalu, pegawai itu dilaporkan berada di rumah dan sempat masuk ke pejabat pada hari berikutnya (14 September) jam 8 pagi.

“Beliau kemudian bertolak ke Kuching pada 11 pagi untuk menghadiri mesyuarat berkaitan utiliti dan perintah sekatan berat di JKR Sarawak,” kata kenyataan itu.

Katanya, pegawai itu menjalani ujian calitan secara rawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), serta menginap di sebuah hotel di Kuching dan pulang ke ibu negara, 2 hari kemudian.

“Pegawai itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu dan diiringi pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

“Bagi menangani penularan wabak Covid-19, JKR mengemukakan senarai nama kontak rapat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Manakala kontak rapat dalam kalangan kakitangan JKR juga sudah dan akan menjalani saringan kesihatan selain proses kuarantin di rumah,” katanya.

Menurutnya, langkah proaktif sudah diambil dengan menjalankan proses disenfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran.

“Hebahan infografik mengenai tatacara pencegahan jangkitan Covid-19 di tempat kerja kepada warga kerja juga dibuat menerusi laman sosial rasmi, portal dan emel rasmi JKR.

“JKR sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut dan akan terus memantau perkembangan terkini Covid-19,” katanya.