
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Warisan menolak gesaan Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkenaan langkah mempeluas skop Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai salah laku dalam sistem kehakiman ke era pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Aziz, yang merupakan bekas naib pengerusi DAP, berkata semalam bahawa RCI harus membabitkan pelantikan hakim dan keputusan kehakiman yang dibuat sepanjang tempoh 22 bulan pentadbiran PH kerana beliau mempunyai “keraguan serius” mengenai kebebasan badan kehakiman susulan tindakan bekas ketua hakim negara, Richard Malanjum yang menyatakan sokongan secara terbuka kepada Warisan Plus dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
Bendahara agung Warisan Terrence Siambun berkata, salah bekas naib pengerusi DAP itu untuk membuat kesimpulan bahawa Malanjum mungkin membuat keputusan berat sebelah yang menyebelahi PH semasa beliau menjawat jawatan hanya kerana beliau menyatakan sokongan kepada Warisan Plus.
Beliau juga berkata ketua hakim yang lain juga memainkan peranan mereka dalam politik selepas persaraan mereka.
“Setiap individu di Malaysia mempunyai hak untuk menyokong mana-mana parti politik yang berdaftar.
“Dalam kes Richard Malanjum ini, beliau sedang menikmati persaraan beliau dan menyokong mana-mana parti yang beliau suka dengan penuh keceriaan; sama ada Perikatan Nasional, Barisan Nasional atau Warisan Plus juga,” kata Siambun dalam satu kenyataan hari ini.
“Hakikatnya, terdapat beberapa contoh bekas ketua hakim yang memainkan peranan aktif dalam politik selepas mereka bersara, seperti bekas ketua hakim negara Salleh Abas yang menjadi calon kepada Semangat 46 pada 1995 dan PAS pada 1999,” tambah beliau.
Siambun berkata, walaupun bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohammad tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya, kenyataan beliau menunjukkan pendiriannya yang pro-Islam dalam banyak isu.
Pemimpin Warisan itu juga mempersoal pengaturan masa dan motif Aziz dalam hal ini dan menyifatkan seruan penubuhan RCI mengenai salah laku dalam sistem kehakiman kepada ketika era pemerintahan sebagai “tiada asas, tiada bukti dan bertujuan politik”.
Siambun berkata Malanjum tidak duduk keseorangan dalam mana-mana panel Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes berkaitan dengan perlembagaan dan kes lain yang melibatkan kepentingan awam.
Beliau juga berkata Malanjum ialah orang yang memperkenalkan pembaharuan yang mendapat pujian dalam bidang kehakiman, kalangan pemimpin politik dan masyarakat awam.
“Pembaharuan yang paling bermakna adalah kehadiran 7 hakim untuk mendengar kes yang melibatkan kepentingan awam dan panel yang mengandungi 9 hakim untuk mendengar hal ehwal berkaitan perlembagaan, tetapi semua ini diabaikan oleh Aziz dengan sengaja.
“Jadi bagaimana mahkamah yang mempunyai 7 atau 9 hakim ketika era pemerintahan PH akan menyebabkan salah laku dalam sistem kehakiman seperti yang dituduh oleh Aziz?” kata beliau.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendesak supaya dipercepatkankan pembentukan RCI bagi menyiasat salah laku yang didedahkan dalam afidavit difailka nhakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer pada 2019.
Suhakam berkata, walaupun pada Februari Putrajaya mengumumkan untuk menubuhkan RCI bagi tujuan itu, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenainya dilaporkan.
Desakan itu berlaku selepas Hamid dikatakan memberikan jawapan yang keras terhadap surat tunjuk sebab diberikan kepadanya bagi menegaskan afidavit dibuatnya sebelum ini bahawa seorang hakim kanan telah campur tangan dalam pelbagai keputusan, termasuk membabitkan kes hasutan Karpal Singh.