Warga Korea Utara di Malaysia cabar langkah ekstradisi AS

Warga Korea Utara Mun Chol Myong membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah untuk mengekstradisi beliau ke AS. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Korea Utara hari ini mencabar langkah Amerika Syarikat untuk mengekstradisinya dari Malaysia berhubung dakwaan membekalkan barangan ke negaranya dengan melanggar sekatan.

Mun Chol Myong, yang tinggal di Malaysia dengan ahli keluarganya selama 1 dekad, ditahan tahun lepas susulan permohonan ekstradisi daripada Washington.

Myong menafikan dakwaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bahawa beliau mengetuai satu kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan barangan mewah ke Korea Utara dan mengubah dana melalui syarikat kosong.

Mahkamah Sesyen pada Disember meluluskan ekstradisinya ke AS, tetapi Mun hari ini membuat rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.

Peguamnya, Gooi Soon Seng, berkata, Mun tidak bersalah dan tuduhan terhadapnya menampakkan “sifat politiknya”.Mahkamah akan membuat keputusan berkenaan rayuan itu pada 8 Oktober depan.

Mun, berusia 50-an, didakwa atas 4 tuduhan penggubahan wang haram dan 2 tuduhan konspirasi menggubah wang berkaitan dengan pekerjaannya di sebuah syarikat di Singapura.

Tidak jelas jenis barang yang dibekalkannya dalam tuduhan tersebut, tetapi terdapat beberapa kes melibatkan peniaga di Singapura dalam beberapa tahun ini yang menghantar barangan ke Korea Utara meliputi minuman keras ke barang kemas.

Pasukan pembelaan Mun sebelum ini berkata, beliau hanya terlibat dalam pembekalan minyak sawit dan minyak kacang soya ke Korea Utara.

Eksport barangan ke Korea Utara, termasuk barang mewah, diharamkan berdasarkan sekatan umum yang dikenakan ke atas Pyongyang oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan negara lain, termasuk AS, berkait program senjata negara tersebut.