20 lagi anggota tabligh rakyat Malaysia pulang dari India

Kementerian Luar berkata, baki 45 ahli jemaah tabligh yang masih berada di India sedang menjalani proses perundangan di beberapa wilayah di negara itu, iaitu di New Delhi, Bihar, Telangana dan Tamil Nadu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: 20 rakyat Malaysia dari New Delhi dan Mumbai, India, yang merupakan kumpulan ke-5 ahli jemaah tabligh selamat tiba di Malaysia pada 3.40 petang semalam.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan hari ini berkata, dengan kepulangan 20 individu itu, kementerian telah membawa pulang seramai 144 daripada 189 ahli jemaah tabligh yang berada di India.

“Terdapat seramai 45 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di India dan sedang menjalani proses perundangan di beberapa wilayah di India, iaitu di New Delhi, Bihar, Telangana dan Tamil Nadu.

“Kementerian Luar memantau rapat perkembangan ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia di India dan berterusan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.

“Kementerian Luar juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudah cara urusan pulang baki 45 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini, 124 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia dibawa pulang menerusi 4 Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana masing-masing pada 18, 22, 29 Julai dan 26 Ogos 2020.

Kamarudin yang juga pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 kementerian itu berkata, semua ahli jemaah tabligh yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin sejajar dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Kesihatan (KKM) atas kerjasama dalam menjayakan misi ini serta ucapan terima kasih kepada kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan rakyat Malaysia.