Hero perang Iban diberi pengebumian negeri

Awang Raweng merupakan bekas anggota pasukan elit Iban pada zaman penjajahan Inggeris. (Gambar Facebook)

KUCHING: Awang Raweng yang meninggal dunia semalam adalah seorang pejuang hebat dan akan sentiasa dikenang sebagai legenda dalam sejarah moden Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Amar Douglas Uggah Embas.

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, Awang adalah lambang dedikasi penuh terhadap tugas serta tanggungjawab, di samping memiliki keberanian yang luar biasa, selain kehilangannya dirasai oleh seluruh rakyat Sarawak.

Menurutnya Awang adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang dianugerahkan George Cross Medal, anugerah sivil tertinggi Britain, kerana keberaniannya seperti yang direkodkan dalam London Gazettee pada 20 November 1951.

Awang Raweng, 104, merupakan bekas anggota pasukan elit Iban semasa era penjajahan Inggeris. Beliau meninggal dunia di kediaman anaknya di Taman Padri, Sri Aman pada jam 2.15 petang semalam.

Uggah berkata, majlis pengebumian negeri akan diberikan kepada Awang dan dikebumikan di sisi pahlawan gagah berani Sarawak di Makam Pahlawan Kuching di sini, Isnin ini.

“Seluruh rakyat Sarawak turut bersedih bersama ahli keluarga beliau dengan pemergian ini. Bagi pihak semua, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada mereka. Dedikasi dan keberanian mendiang membawa penghormatan besar kepada negeri dan negara,” katanya.