KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM15.12 bilion bagi suku ke-2 tahun ini

Pada akhir Jun 2020, aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM929.64 bilion dan 30% daripadanya dilaburkan di luar negara.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion bagi tempoh suku ke-2 (Q2) berakhir 30 Jun 2020.

Menurut dana persaraan itu, ekuiti menyumbang sebanyak 54% atau RM8.11 bilion kepada jumlah pendapatan kasar.

Instrumen pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM6.17 bilion, manakala sektor hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing menyumbang RM0.47 bilion dan RM0.37 bilion, demikian menurut kenyataan KWSP hari ini.

Pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM13.46 bilion selepas mengambil kira penurunan nilai kos di atas ekuiti tersenarai, iaitu amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.

Ketua pegawai eksekutifnya Tunku Alizakri Alias berkata, keadaan mencabar serta tidak menentu bermula awal 2020 tidak menunjukkan tanda pemulihan berikutan isu seperti ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat-China serta penurunan harga minyak, masih berterusan dan Covid-19 terus memburukkan keadaan di negara yang kurang bersedia untuk menghadapinya.

Pelaksanaan perintah berkurung oleh ekonomi utama dunia serta penutupan sempadan turut menjejaskan rangkaian bekalan, seterusnya mengakibatkan kemerosotan dalam pelbagai sektor dan industri, katanya.

“Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP yang menjadi panduan kami untuk menstruktur pelaburan dan portfolio, membantu dalam mengharungi tempoh separuh tahun pertama yang sangat tidak menentu.

“Sebagai contoh, pendedahan pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap membolehkan kami untuk kekal teguh semasa tempoh kemerosotan pada permulaan suku ke-2.

Tunku Alizakri Alias

“Ini diikuti dengan kenaikan indeks FBM KLCI dan pemulihan pasaran global pada penghujung suku berkenaan berikutan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat,” katanya.

Bagi masa hadapan, Alizakri menegaskan, KWSP akan kekal berwaspada berikutan kemungkinan berlakunya gelombang ke-2 Covid-19 yang boleh memburukkan lagi kelemahan ekonomi di negara yang masih bergelut dengan impak gelombang pertama.

SAA KWSP memperuntukkan sebanyak 51% kepada instrumen pendapatan tetap, 36% kepada ekuiti, 10% bagi hartanah dan infrastruktur serta 3% kepada instrumen pasaran wang sebagai satu rangka kerja untuk mengoptimumkan pulangan jangka panjang dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima.

KWSP berkata, strategi pelaburan luar negara yang berpandukan SAA juga membantu menambah nilai prestasi keseluruhan bagi suku tersebut.

Pada akhir Jun 2020, aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM929.64 bilion dan 30% daripadanya dilaburkan di luar negara.

Setakat Q2 2020, sebanyak 39% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan adalah hasil sumbangan pelaburan KWSP di luar negara.

“Pendapatan luar negara itu didorong oleh pemulihan dalam pasaran ekuiti global pada suku ke-2 tahun ini dan membolehkan KWSP kekal berdaya tahan berikutan kemelesetan pada suku pertama tahun ini.

“Instrumen pendapatan tetap turut menyumbang pendapatan yang lebih tinggi dalam persekitaran kadar faedah rendah yang memberi lebih banyak peluang kepada KWSP untuk meraih keuntungan,” katanya.

Bagi tempoh separuh tahun ke-2 2020, Alizakri berkata, KWSP masih mengambil langkah berhati-hati kerana walaupun semakin banyak negara melonggarkan perintah kuarantin dan membuka semula pasaran masing-masing, tiada jaminan vaksin Covid-19 dapat disiapkan dalam masa terdekat.

“Melihatkan situasi di luar jangkaan ini, kami berpuas hati kerana berjaya mencatat prestasi yang kukuh di samping mengimbangkan keperluan aliran tunai segera dengan kepentingan jangka panjang untuk memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli KWSP serta pulangan pelaburan yang mampan.

“Pada masa hadapan, adalah amat penting bagi KWSP untuk terus melabur dalam aset yang kukuh, khususnya dalam syarikat yang menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan norma baru,” katanya.

Beliau berkata, ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), dana persaraan itu menyediakan beberapa langkah bantuan kecemasan untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh ahli dan majikan.

Ini termasuk kemudahan pengeluaran i-Lestari yang membenarkan ahli membuat pengeluaran bulanan antara RM50 hingga RM500 bermula April 2020 hingga Mac 2021, tertakluk kepada baki Akaun 2 mereka.

Setakat 30 Jun 2020, KWSP meluluskan sebanyak 4.35 juta permohonan dengan jumlah pengeluaran kumulatif antara bulan April dan Jun 2020 bernilai RM3.79 bilion.

Selain itu, KWSP juga menerima sebanyak 37,888 permohonan (sehingga 3 Julai 2020) untuk Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) yang membolehkan majikan memohon penangguhan dan menstruktur semula caruman syer majikan dengan sejumlah 10,528 permohonan berjumlah RM70.4 juta diluluskan.

Kemudahan itu adalah berikutan lanjutan tarikh akhir untuk majikan membayar caruman wajib bagi bulan Mac 2020 dan seterusnya untuk Mei hingga Disember 2020, kata KWSP.

Bagi tempoh sama, KWSP juga mengurangkan caj jualan yang dikenakan oleh institusi pengurusan dana untuk tempoh 12 bulan sehingga 30 April 2021 dengan pelaburan melalui ejen menyaksikan kadar caj jualan dikurangkan daripada kadar maksimum 3% kepada kadar maksimum 1.5%, manakala tiada sebarang caj jualan dikenakan bagi pelaburan melalui i-Invest dalam i-Akaun (Ahli).

Selain itu, Alizakri berkata, KWSP juga komited dalam penggunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai teras dalam proses membuat keputusan pelaburan.

“Mengambil kira tahap ketidaktentuan dan ketidakpastian yang kian meningkat dan menjadi satu kebiasaan, amalan ESG yang teguh akan menjadi satu keperluan.

“Kami juga yakin ia akan membolehkan ekonomi, industri, dan syarikat untuk lebih menyesuaikan diri dan lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis,” katanya.