Menteri janji siasat dakwaan pemandu e-hailing tiada lesen

Wee Ka Siong berkata, pemandu e-hailing perlu menjalani ujian vokasional bagi mendapat lesen PSV sebagai prasyarat untuk menawarkan perkhidmatan itu.

SANDAKAN: Pihak berkuasa akan menyiasat dakwaan ramai pemandu menawarkan perkhidmatan e-hailing tanpa memiliki lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Beliau berkata, jika benar dakwaan itu, jabatan dan agensi berkaitan akan diminta mengambil tindakan kerana langkah itu bukan saja dapat menjaga kebajikan pemandu berlesen, tetapi juga keselamatan penumpang.

“Antara masalah yang dibangkitkan oleh pemandu e-hailing di Sandakan ialah saingan daripada perkhidmatan e-hailing yang kononnya mendaftar pemandu melalui aplikasi telefon dengan mudah sekali dan menggunakan identiti tidak sahih.

“Kalau dakwaan itu sahih, saya akan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah membuat pemeriksaan,” katanya selepas menemui pemandu e-hailing di sini, malam tadi.

Beliau menekankan pemandu e-hailing perlu melalui ujian vokasional bagi mendapat lesen PSV sebagai prasyarat untuk menawarkan perkhidmatan itu.