Musa sambut pelawaan Bung, sedia bantu kempen BN, menangkan GRS

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman berkata, beliau akan menjelajah seluruh negeri bagi membantu kempen calon Gabungan Rakyat Sabah.

PETALING JAYA: Selepas mencetuskan spekulasi sebelum hari penamaan calon, selain tidak muncul sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah Sabtu lepas, selain berkempan untuk calon PBS dan Perikatan Nasional (PN), Musa Aman hari ini mengumumkan kesediaan membantu kemenangan BN.

Bekas ketua menteri itu juga muncul pada program melibatkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam,

Beliau menyambut pelawaan pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin supaya membantu calon BN, termasuk di Libaran yang merupakan kubu kuat pemimpin itu.

“Susah senang, kita mesti bantu-membantu. Ia perjuangan asal kita, insyallah kita sama-sama akan bantu semua calon Gabungan Rakyat Sabah. Sabah ubah balik,” katanya di Twitter.

Bung semalam dilaporkan mengundang Musa, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, supaya kembali membantu jentera Umno Libaran, bahagian yang dipimpinnya selama lebih 20 tahun.

“Saya jangkakan mungkin Musa juga akan berkempen untuk Umno tidak lama lagi. Mungkin tidak hari ini atau lusa, tetapi tidak lama lagi. Saya harap begitu.

“Mungkin Musa akan berkempen untuk calon Libaran kerana beliau adalah bekas pemimpin Libaran dan bekas ketua menteri kita,” kata Bung seperti dilaporkan oleh akhbar The Malay Mail.

Semalam ketika bercakap kepada pemberita, Musa turut memaklumkan akan menjelajah seluruh negeri bagi membantu kempen calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

GRS adalahkerjasama politik merangkumi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah dalam PRN Sabah ke-16 akhir bulan ini.

Musa berkata, beliau akan turun berkempen bagi memastikan kemenangan cemerlang semua calon GRS.

Sebelum hari penamaan calon Sabtu lepas, Musa mencetuskan spekulasi selepas menyuarakan hasratnya untuk “kembali ke Sungai Manila”.

Bagaimanapun, beliau tidak hadir untuk penamaan calon di mana-mana pusat pencalonan pada hari tersebut.

Sejak itu, keberadaan Musa tidak diketahui, sehinggalah penampilan mengejutnya pada satu majlis umum di Beaufort semalam yang turut dihadiri oleh perdana menteri.

Beliau kemudian dilaporkan berada dalam siri kempen calon PBS untuk DUN Kiulu, Joniston Bangkuai, selain membantu kempen calon PPBM di Sulaman, Hajiji Noor, yang juga merupakan pengerusi parti itu di Sabah.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah