Wanita nyaris maut, kereta dihempap kepingan konkrit

Kereta mangsa yang remuk selepas dihempap kepingan konkrit projek pembinaan lebuh raya petang tadi. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Seorang wanita nyaris maut selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), terjatuh menghempap kereta yang dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), petang tadi.

Walaupun kereta Proton Saga BLM itu remuk dihempap kepingan konkrit bersaiz 1 meter persegi, namun wanita itu terselamat dan hanya cedera di tangan kirinya.

Ketua Polis Daerah Cheras Mohd Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian kira-kira 5.45 petang itu berlaku di MRR2 berhampiran sebuah stesen minyak di Bandar Tasik Selatan dari arah Sungai Besi menghala ke Ampang.

“Mangsa berusia 25 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM itu, diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HUKM) dan sedang menerima rawatan di zon kuning,” katanya di sini, hari ini.

Mokhsein berkata, kejadian tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kerja-kerja pengalihan serta pembukaan semula lorong itu mengambil masa 2 jam.