200 menara telekomunikasi baru akan dibina di Kedah, kata menteri besar

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akan meminta Suruhanjaya Komun ikasi dan Multimedia Malaysia menyegerakan pembinaan menara telekomunikasi kerana capaian internet stabil sangat penting. (Gambar Bernama)

JITRA: Dua ratus menara telekomunikasi baru akan dibina di Kedah bagi meningkatkan keupayaan sistem telekomunikasi di negeri itu, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan cuba memohon kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar menyegerakan pembinaan menara telekomunikasi berkenaan memandangkan capaian internet yang stabil sangat penting kini.

“Saya mengadakan perjumpaan dengan MCMC dan dimaklumkan mereka ada dana untuk membina menara itu,” katanya semasa ditanya mengenai capaian internet yang didakwa sangat lemah di beberapa kawasan seperti di Bukit Selambau, Sik, Baling dan Padang Terap.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan meninjau Pusat Tahfiz Darul Ulum Ar-Rahimiyah Tahfizul Quran di sini yang mengalami kerosakan kecil pada struktur bangunannya akibat kebakaran Jumaat lepas.

Mengenai arahan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar bermula 11 Sept lepas dan berakhir 25 Sept ini, beliau berharap arahan itu tidak akan disambung memandangkan banyak pihak terjejas apabila perintah itu dilaksanakan.

Bagaimanapun beliau berkata, keputusannya bergantung kepada nasihat Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negeri dan setakat ini masih belum ada perbincangan berhubung perkara itu.