522 ingkar PKP ditahan, lebih 300 di kelab malam, kata Ismail Sabri

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui Operasi Benteng semalam, pihak berkuasa juga berjaya menangkap 180 pendatang asing tanpa izin, 5 penyeludup dan 1 tekong. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Memasuki hari ke-187 pelaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) jumlah indivdu yang ingkar arahan semakin meningkat apabila 522 ditahan semalam, berbanding 93 hari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, majoriti yang diberkas berkait aktiviti kelab malam yang sehingga kini masih lagi dilarang beroperasi.

“Semalam polis menahan 522 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, 342 individu dikompaun, manakala 180 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (363), penjarakan fizikal (81), tidak memakai pelitup muka (36), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (17), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (12), keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan kukuh (1), premis beroperasi tanpa kebenaran (5), dan tangkapan warga asing tanpa dokumen perjalanan diri (7),” kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hariannya berhubung pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, melalui Operasi Benteng semalam, pihak berkuasa berjaya menangkap 180 pendatang asing tanpa izin (PATI), 5 penyeludup dan 1 tekong.

“Turut dirampas ialah 5 kenderaan darat. Sebanyak 89 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan polis (67 SJR), AKSEM (10 SJR) dan tentera (12 SJR),” katanya.