India catat lebih 5.4 juta kes Covid-19

Seorang kakitangan kesihatan memeriksa pesakit di sebuah pusat jagaan Covid-19 sementara yang ditubuhkan dalam sebuah stadium di New Delhi pada Sabtu. (Gambar AP)

MUMBAI: Kes Covid-19 di India meningkat kepada 5.4 juta orang dengan pertambahan 92,605 kes baru dalam tempoh 24 jam lalu, menurut data Kementerian Kesihatan hari ini.

Negara itu mencatatkan kes tertinggi di seluruh dunia sejak awal bulan lalu, dan hanya di belakang Amerika Syarikat yang merekodkan 6.7 juta kes Covid-19 setakat ini.

Kementerian Kesihatan berkata, seramai 1,113 pesakit Covid-19 meninggal dunia di India dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan keseluruhannya 86,752 kematian, iaitu 1.6% daripada keseluruhan kes koronavirus.