Kluster baru Covid-19 dikesan di Pulau Pinang

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PETALING JAYA: Satu lagi kluster baru Covid-19 dikesan berikutan penularan wabak itu di negara ini.

Kluster baru yang dikenali sebagai kluster Ara dikesan di Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang terdapat kluster baru Covid-19, iaitu kluster Ara,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes indeks kluster ini adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 44 tahun.

“Kes indeks telah dikesan positif Covid-19 melalui saringan di pintu masuk antarabangsa (PMA) Sandakan, Sabah, pada 15 Sept 2020 berikutan perjalanan beliau dari Semenanjung Malaysia.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 1 kes positif dikenal pasti. Kes positif ini merupakan merupakan anak saudara kepada kes indeks.

“Kes dikesan positif pada 19 Sept 2020 dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” katanya.

Noor Hisham berkata, sehingga 20 Sept, 16 individu telah disaring.

“Keputusan saringan adalah seperti berikut: 2 dikesan positif dan 14 negatif.

“Langkah pencegahan jangkitan, termasuk proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi yang terlibat. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.