Konkrit hempap kereta: Kementerian arah audit menyeluruh projek pembinaan

Seorang wanita nyaris maut semalam apabila kepingan konkrit daripada projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang menghempap kereta dipandunya.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap pihak bertanggungjawab susulan insiden parapet atau panel konkrit tembok sisi jambatan terjatuh dari struktur binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semalam.

Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, insiden itu tidak seharusnya berlaku dan KKR tidak berkompromi dalam soal keselamatan serta nyawa orang ramai, dengan tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang dibuat.

Pada masa sama beliau turut mengarahkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya segera melaksanakan audit menyeluruh berkaitan kerja melibatkan keselamatan awam.

“Bagi KKR, isu keselamatan di tempat kerja amat penting diambil perhatian dan dipatuhi oleh setiap pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan.

“Mereka bukan sekadar perlu tahu dan faham sahaja, tetapi perlu mengimplikasi sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pembinaan.

“Kejadian parapet yang jatuh menimpa kenderaan awam semalam dapat dielakkan jika semua pihak terlibat mematuhi sistem dan prosedur kerja yang betul mengikut garis panduan kerja yang diluluskan dan mematuhi spesifikasi dan kontrak,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang semalam, mangsa seorang wanita berusia 25 tahun nyaris maut selepas kepingan konkrit daripada kerja pembinaan SUKE terjatuh menghempap kereta yang dipandunya di MRR2 mengakibatkan kereta berkenaan remuk dan wanita terbabit cedera pada tangan kirinya.

Menurut Fadillah, pihak pemaju utama MRCB Builders mengambil tindakan segera dengan memberi arahan berhenti kerja kepada subkontraktor serta menutup lokasi kejadian bagi tujuan siasatan.

Katanya, pasukan Emergency Response Team (ERT) SUKE berada di tempat kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta terlibat.

Manakala pihak pemaju pula memeriksa semua tembok parapet, menyemak semula dokumen prosedur kerja selamat dan kaedah kerja pemasangan tembok parapet.

Dalam pada itu Fadillah berkata, atas arahan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), semua besi permulaan hendaklah dikimpal dengan besi parapet secepat mungkin dan kerja pengukuhan kedudukan tembok parapet selesai pada 5 pagi tadi.

“Pihak LLM/KKR kini melaksanakan semakan keselamatan dan tindakan akan diambil untuk menyemak perlaksanaan tanggungjawab di semua peringkat sama ada di peringkat pemantauan, kualiti, reka bentuk dan metodologi kerja.

“KKR memberi amaran bahawa semua pihak terlibat dalam kerja-kerja pembinaan perlu mematuhi semua proses, prosedur, spesifikasi dan kontrak kerja yang ditetapkan di tapak bina tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Beliau berkata, susulan insiden semalam, beberapa arahan lain turut dikeluarkan, antaranya LLM dan Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (PROLINTAS) perlu meneliti semula kaedah reka bentuk paling sesuai melibatkan struktur bagi meminimumkan risiko kepada orang awam dan pekerja.

Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim dalam kenyataan memaklumkan JKKP mengarahkan kerja pemasangan dinding parapet SUKE dihentikan serta-merta.