Saingan presiden MTUC berakhir seri, Solomon hilang jawatan setiausaha agung

Penyandang J Solomon tewas kepada Kamarul Baharin Mansor untuk jawatan setiausaha agung MTUC.

PETALING JAYA: Buat julung kali dalam sejarah 71 tahun Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), saingan untuk jawatan tertinggi dalam persidangan perwakilan 3 tahun sekali berakhir dengan keputusan seri.

Penyandang jawatan presiden, Abdul Halim Mansor daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Peroleum dan Kimia (NUPCIW) dan pencabarnya, Mohd Jafar Abd Majid daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Telekomunikasi (NUTE) masing-masing mendapat 136 undi.

Calon ke-3, Nor Azlan Yaacob daripada Kesatuan Pekerja Industri Perkayuan (TEU) meraih 102 undi.

Setiausaha Agung yang baru dipilih, Kamarul Baharin Mansor daripada Kesatuan Pengurusan Sisa Kebangsaan (NUMW) berkata, beliau akan mengkaji perlembagaan MTUC untuk langkah seterusnya.

“Saya akan dapatkan nasihat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) kerana keputusan untuk jawatan utama itu tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Kamarul berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa kerja, yang menguruskan urusan harian kesatuan itu, bagi mendapatkan pandangan mereka.

Buat masa ini, Timbalan Presiden yang baru dipilih, Mohd Effendy Abdul Ghani daripada Kesatuan Pekerja Perkeranian Pos akan menjadi pemangku presiden.

Sementara itu, kemenangan Kamarul tidak dijangkakan kerana beliau menewaskan penyandang J Solomon dalam pertandingan 3 penjuru.

Kamarul memperoleh 143 undi, Gopal Kishnam Nadeson daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW) mendapat 132 undi, manakala Solomon (Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank) meraih 98 undi.

Seramai 507 perwakilan layak menghadiri persidangan itu, tetapi hanya kira-kira 400 orang yang hadir kerana sesetengah perwakilan dari Sarawak tidak hadir akibat pandemik Covid-19.

Pun begitu, 4 kesatuan memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar kesahihan penganjuran persidangan itu.

Peguam Srividhya Ganapathy yang mewakili kesatuan itu berkata, persidangan perwakilan khas itu tidak mematuhi Perlembagaan MTUC.

Mereka mahu JPPM campur tangan dan menyelia pemilihan itu untuk memastikan jawatankuasa kerja bertindak mengikut perlembagaan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 29 Sept ini.