Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno disyaki positif Covid-19

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii di hospital.

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dimasukkan ke hospital selepas didapati positif ujian kali pertama Covid-19, kata sumber parti itu.

Katanya, Mohd Razlan Rafii disahkan positif selepas kit ujian pantas menunjukkan positif dan beliau kini menunggu keputusan ujian ke-2.

Menerusi video berdurasi 22 saat, Razlan dilihat terbaring atas katil sebuah hospital.

“Sekarang tengah masuk air. Harap kawan-kawan semua hati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai berhati-hati dengan jangkitan Covid-19 dan menasihati supaya mematuhi penjarakan fizikal.

“Untuk ‘swab test’ ke apa, yang penting kita ‘isolate’ diri kita dulu,” katanya.

Terdahulu, Razlan dikatakan berkempen di kawasan Sipitang di Sabah.

Menurut laporan portal berita SuaraTV, kenalan rapatnya kini menjalani ujian saringan untuk Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau menunggu laporan rasmi mengenai perkara itu dan meminta Razlan dikuarantin di Sabah jika laporan itu benar.

Ismail berkata, Kabinet akan membincangkan aspek kesihatan dan keselamatan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan 26 September ini.

Sabah mencatat jumlah kes Covid-19 tertinggi sejak seminggu lalu, dengan kluster baharu turut dilaporkan.

FMT cuba mendapatkan Razlan untuk pengesahan mengenai keputusan ujian Covid-19 beliau.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah