Bekas menteri besar Terengganu meninggal dunia

Wan Mokhtar, 88, yang berasal dari Kuala Terengganu, berkhidmat sebagai menteri besar selama 25 tahun dari 1974 hingga 1999. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar Terengganu Wan Mokhtar Ahmad, meninggal dunia 6.20 pagi tadi di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur, akibat komplikasi jantung.

Berita itu dimaklumkan oleh anaknya Wan Abdul Hakim melalui Facebook miliknya.

Beliau turut memberitahu jenazah ayahnya akan disembahyangkan di Masjid Bukit Jelutong, selepas solat Zohor nanti dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

Wan Mokhtar, 88, yang berasal dari Kuala Terengganu, berkhidmat sebagai menteri besar selama 25 tahun dari 1974 hingga 1999.