Kenyataan Mohamaddin hina pasukan keselamatan, kata Azmin

Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali dan ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan mengiringi banyak pihak membidas kenyataan pemimpin Warisan Mohamaddin Ketapi berhubung insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 yang dilihat menghina pasukan keselamatan negara.

PETALING JAYA: Pemimpin kanan Warisan Mohamaddin Ketapi terus menjadi sasaran kritikan susulan kenyataan beliau yang menyifatkan insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 sebagai “sandiwara”.

Kali ini giliran Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Mohamed Azmin Ali membidas Mohamaddin dengan berkata, calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu memperlekeh pasukan keselamatan negara.

“Saya mengecam keras kenyataan pemimpin utama Warisan, Mohammadin Ketapi, calon Warisan DUN Segama, yang memperlekeh jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang berjuang mempertahankan kedaulatan Sabah dalam peristiwa Tanduo, Lahad Datu,” katanya di Twitter hari ini.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan menggesa ketua menteri Sabah, Shafie Apdal menuntut Mohamaddin memohon maaf secara terbuka kepada semua keluarga tentera dan polis yang terlibat dalam tragedi di Lahad Datu susulan keceluparan pemimpin itu.

“Ketua menteri yang juga bekas timbalan menteri pertahanan dan pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Sabah perlu menuntut calon Warisan Mohamaddin Ketapi memohon maaf kepada semua keluarga anggota tentera dan polis yang menyabung nyawa dan yang terkorban di Tanduo,” katanya.

Dalam klip video kira-kira 2 minit yang tular sebelum ini, Mohamaddin, yang juga bekas menteri persekutuan, ketika berkempen sempena pilihan raya negeri (PRN) Sabah 26 Sept ini berkata, pasukan keselamatan “mengebom kelapa sawit dan rumah”, dan “pasukan di darat berperang dengan ayam dan anjing”.

“Bila pilihan raya (PRU 2013) berakhir, tiada lagi perang,” katanya, dengan menambah semasa berkhidmat sebagai Adun sebelum ini, beliau tidak pernah menemui lanun bersenjata atau warga Filipina yang mahu mengisytiharkan perang atau mengambil semula Sabah.

Beliau berkata, ramai orang terkorban dalam pertempuran di Lahad Datu itu kerana ia “sandiwara”.

Pada 11 Februari 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, sekali gus mencetuskan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia.

Insiden itu berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan dan 6 orang awam. Pengganas yang hidup ditangkap atau menyerah diri.

Konflik itu diisytihar tamat pada 10 April 2013.

Kenyatan berbaur penghinaan itu turut dibidas oleh Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman yang menyifatkannya sebagai penghinaan terhadap pasukan keselamatan yang mempertaruhkan nyawa untuk mempertahan kedaulatan negara.

“Di manakah rasa hormat pemimpin parti Warisan ini kepada anggota keselamatan Malaysia yang terkorban semasa mempertahankan kedaulatan bumi Sabah?” soalnya.

Anifah berkata, kenyataan pemimpin itu tidak boleh diterima dan melukakan hati keluarga dan rakan seperjuangan pasukan keselamatan.