Lagi kluster baru Covid-19 dikesan di Sabah, kali ini di Tongod

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan mengenal pasti kluster baru Covid-19 di Tongod, Sabah.

PETALING JAYA: Satu lagi kluster baru Covid-19 dikesan susulan penularan wabak itu di negara ini.

Kluster baru itu dikesan di Tongod, Sabah dan dikenali sebagai kluster Kuarters.

“KKM ingin memaklumkan bahawa 1 kluster baru dilaporkan di Tongod, Sandakan, Sabah,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kluster ini dikenal pasti hasil saringan yang dijalankan di sekitar daerah Tongod susulan saringan Covid-19 ke atas seorang petugas kesihatan yang didapati positif ujian saringan RTK Antigen pada 4 Sept 2020.

“Beliau disaring sebagai saringan rujukan ke hospital. Namun, ujian pengesahan Covid-19 ke atas beliau (iaitu rt-PCR) didapati negatif.

“Saringan di sekitar daerah Tongod yang bermula pada 6 Sept 2020 melibatkan masyarakat setempat, termasuk petugas kesihatan Klinik Kesihatan tersebut. Lima kes positif Covid-19 dikenal pasti setakat ini.

Kesemua kes positif merupakan warganegara tempatan.

“Mereka tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan,” katanya.

Noor Hisham berkata, sehingga 21 Sept, 117 individu disaring.
“Keputusan saringan adalah seperti berikut, iaitu 5 dikesan positif dan 112 masih menunggu keputusan.

Pemakluman berhubung kluster Kuarters menjadikan bilangan kluster aktif Covid-19 yang direkodkan di Sabah meningkat kepada 5 membabitkan kluster Benteng, kluster Selamat, kluster Bakau dan kluster Pulau.