Pantai timur Sabah selamat, terkawal

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Ahmad Fuad Othman berkata bagi insiden culik untuk mendapatkan wang tebusan hanya 10 kes direkodkan dalam tempoh 10 tahun lalu iaitu purata 1 kes culik setahun. (Gambar Bernama)

LAHAD DATU: Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) selamat dan terkawal, kata Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Ahmad Fuad Othman.

Beliau bekata, ESSCom yang terdiri daripada polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan sentiasa siap siaga dan giat melakukan rondaan bagi memastikan keselamatan di kawasan itu dikekalkan.

Katanya, rondaan dan pemeriksaan di kawasan khas termasuk langkah “menunjukkan kehadiran” turut dilaksana bagi menghalang kumpulan pengganas atau penjenayah rentas sempadan memasuki perairan negara untuk melakukan jenayah penculikan.

“Ia tidaklah seperti yang disangka, (dakwaan) yang mengatakan bahawa kawasan pantai timur ini tidak selamat. Sebenarnya (ia adalah) selamat dan terkawal,” katanya dalam temubual dengan Bernama di ibu pejabat ESSCom baru-baru ini.

Bagi insiden culik untuk mendapatkan wang tebusan, beliau berkata hanya 10 kes direkodkan dalam tempoh 10 tahun lalu iaitu purata 1 kes culik setahun.

Perintah berkurung ESSZone, yang berkuat kuasa dari 6 petang hingga 6 pagi, merangkumi perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah