Parti Putra bantah guna bahasa Mandarin dalam portal rasmi SPRM

Ketua Pemuda Putra Malaysia Nasrul Ali Hassan Abdul Latif (2 dari kiri) menyerahkan memorandum membantah penggunaan bahasa Mandarin di portal rasmi SPRM di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membantah sekeras-kerasnya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan bahasa Mandarin dalam laman portal rasmi pihak berkuasa itu.

Ketua Pemuda Putra, Nasrul Ali Hassan Abdul Latif berkata, tindakan SPRM itu tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan dasar kerajaan.

“Tindakan SPRM ini melanggar Perkara 152 perlembagaan persekutuan bahawa bahasa rasmi digunakan dalam urusan kerajaan adalah bahasa Melayu.

“Perkara 152 (1) juga dalam perlembagaan persekutuan sangat jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh Parlimen.

“Seharusnya SPRM memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pertuturan, urusan rasmi surat menyurat, kenyataan media dan portal laman sesawang rasmi,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat SPRM di sini sebelum menyerahkan memorandum bantahan itu.

Jumaat lalu, SPRM melancarkan portal dalam bahasa Mandarin, bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.

Menurut suruhanjaya itu, portal berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil.

“Kemudahan terbaru ini diharap dapat meningkatkan lagi keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM serta agenda antirasuah, di samping menyebar luas mesej pendidikan pencegahan rasuah,” katanya.

Portal berkenaan boleh dilayari di pautan https://www.sprm.gov.my/cn/.

Dalam pada itu, Nasrul berkata, tindakan SPRM itu menguris hati masyarakat Melayu dan Bumiputera, selain menegaskan bahasa Melayu digunakan majoriti rakyat di negara ini.

“Justeru Putra mendesak SPRM supaya memadam, menurunkan dan membuang sepenuhnya apa jua bahagian yang menggunakan bahasa Mandarin dalam portal rasmi SPRM dengan serta merta” katanya.