Penduduk kampung harap pembangunan berjalan lancar susulan lawatan PM

Penduduk Kampung Panikuan berhadapan rumah panjangnya.

KUDAT: Sanny Matuhah dapat tahu “orang besar” datang ke kampung halamannya Kudat, daerah paling utara di Sabah, pada Jumaat. Namun, dia tidak pasti siapakah orang itu yang dimaksudkan.

Orang itu sebenarnya ialah Muhyiddin Yassin, yang membuat lawatan sulung beliau sebagai perdana menteri ke daerah itu.

“Saya mahu tengok, tetapi saya masih bekerja di Kota Kinabalu,” katanya kepada FMT.

“Saya harap ini bukan sekadar gimik politik untuk meraih undi kerana sekarang kan musim pilihan raya. Saya harap ini menandakan pembangunan sebenar akan datang ke daerah kita.

Sanny Matuhah.

“Sebelum ini pun, pemimpin datang dan pergi, dan daerah kami, terutama kampung saya di Kampung Panikuan, masih sama seperti sebelum ini – miskin dan ketinggalan berbanding daerah lain, terutama di bandar.”

Hakikat kehidupan di Kudat itu, yang berjarak 3 jam perjalanan dari Kota Kinabalu, mendesak orang muda seperti Sanny, 34, untuk mencari peluang pekerjaan di tempat lain seperti di KK.

Walaupun terdapat beberapa pembangunan di daerah itu, banyak yang terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk mencari peluang yang lebih cerah.

Populasi utama daerah itu adalah masyarakat Rungus.

Kudat terkenal dengan tarikan pelancongannya seperti “Hujung Borneo” dan pantai yang cantik. Ia juga menawarkan padang golf.

Selain itu, ia memiliki beberapa ladang kelapa sawit serta lapangan terbang yang hanya boleh terima pesawat kecil.

Rupa kebiasaan rumah panjang Rungus di Kampung Panikuan.

“Tetapi pembangunan dan kemajuan agak lambat dan itulah sebabnya orang meninggalkan kampung di Kudat untuk mencari peluang di bandar,” kata Sanny, yang menyelenggara mesin sebagai sumber pendapatan.

“Saya sangat berharap Muhyiddin ketika melawat Kudat minggu lepas, boleh lihat sendiri keadaan kampung dan taraf hidup masyarakat di sini.

“Cuma saya ragu-ragu kalau beliau berjaya masuk ke kampung-kampung itu, apatah lagi kampung saya, Kampung Panikuan.”

Kampung Panikuan, dengan populasi 360 orang, kebanyakannya Rungus, terletak di daerah kecil Matunggong di Kudat.

Ia terletak kira-kira 3km dari jalan utama dan hanya dapat diakses melalui jalan tanah, merentasi beberapa ladang kelapa sawit.

Jalan menuju ke Kampung Panikuan, yang melalui beberapa ladang kelapa sawit, tidak berturap walaupun ada permintaan dari penduduk kampung.

Sanny berkata, sebahagian penduduk masih tinggal di rumah panjang tradisional dan bekerja sebagai penoreh getah.

Muhyiddin berkata dalam lawatannya ke Kudat, lebih banyak peruntukan dan bantuan boleh disalurkan kepada orang Sabah jika kerajaan negeri sehaluan dengan kerajaan persekutuan yang dipimpin Perikatan Nasional (PN).

Perdana menteri itu, yang juga melawat daerah jiran Kota Marudu, berkata rakyat Sabah perlu memilih kerajaan yang selari dengan kerajaan persekutuan, yang telah membuktikan kemampuannya dalam membantu rakyat ketika berdepan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Linah Garokkan senada dengan sentimen abang iparnya, Sanny, mengatakan penduduk Kudat tidak melihat banyak pembangunan di daerah itu.

“Hidup menjadi lebih sukar, lebih-lebih lagi kerana pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT.

Linah Garukkan.

“Harapan saya walaupun PN tidak menang dalam pilihan raya negeri, kerajaan persekutuan tetap akan terus membantu negeri ini, terutama daerah kita.

“Kesukaran yang dihadapi rakyat adalah terbukti dan tiada mana-mana kerajaan boleh gunakan kesusahan itu sebagai alat politik.”

Matunggong akan menyaksikan pertembungan 8 penjuru di mana Julita Mojungki (PBS) akan mempertahankan kerusinya, ditentang, antara lain, calon PKR, BN, dan Parti Cinta Sabah.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah