PRN Sabah: Hanya 9% calon wanita, NGO desak kerajaan perbaiki ketidakseimbangan

Sebuah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) wanita mendakwa hanya 43 daripada 447 calon dalam pilihan raya Sabah adalah wanita.

PETALING JAYA: Sebuah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) wanita menyuarakan kekecewaan atas kekurangan calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Kumpulan Bertindak Bersama Bagi Kesaksamaan Jantina (JAG) yang merangkumi NGO dari Sabah berkata, kekurangan calon wanita menandakan penentangan terhadap kepemimpinan politik wanita di negara ini.

Memetik data Suruhanjaya Pilihan Raya, JAG mendakwa hanya 43 daripada 447 calon atau 9%, yang mengambil bahagian dalam pilihan raya adalah wanita.

Katanya, calon wanita itu termasuk 2 dari Umno, seorang MCA, 2 Perikatan Nasional dan seorang dari PBS.

“Ini juga menunjukkan terdapat diskriminasi dan halangan sosio-budaya masih dihadapi wanita dalam institusi politik yang bertentangan dengan tanggungjawab dan komitmen undang-undang antarabangsa Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JAG berkata, penyertaan dan perwakilan wanita yang sama rata dalam membuat keputusan amat penting untuk mengutamakan keperluan wanita dalam perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan ekonomi.

Kenyataan itu turut menyebut, Covid-19 menjadikan penyertaan wanita dalam membuat keputusan lebih penting kerana wanita antara yang paling teruk terjejas dengan pandemik itu.

“JAG percaya kekurangan calon wanita secara jelas bukan disebabkan kurangnya ahli politik wanita yang berkemampuan di Sabah tetapi sikap diskriminasi terhadap wanita yang wujud dalam masyarakat,” katanya.

Kumpulan itu berkata, masalah perwakilan wanita dalam politik bukan perkara baharu dan ia sudah diketengahkan kepada kerajaan pada 2018, namun belum ada langkah efektif untuk mengatasinya.

Kumpulan berkenaan menyeru parti politik memperbaiki ketidakseimbangan itu selepas PRN Sabtu ini dengan melantik wanita sebagai ahli dewan yang dicalonkan dan memastikan perwakilan wanita dalam semua proses membuat keputusan di peringkat negeri.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah