PRN Sabah: Pemimpin Warisan dakwa wujud ‘1 permainan’ pada hari mengundi

Mohammadin Ketapi mendakwa pembangkang mencetuskan isu itu kerana takut kehilangan undi orang Cina yang lebih memihak kepada Warisan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemimpin Warisan Mohammadin Ketapi mendakwa akan wujud “1 permainan” oleh pembangkang di Sabah untuk cuba menakutkan pengundi dengan mengatakan Covid-19 semakin membarah terutama di Parlimen Silam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Silam berkata, pembangkang didakwa mencetuskan isu itu kerana takut kehilangan undi orang Cina yang lebih memihak kepada Warisan.

“Konon 2,3 hari sebelum mengundi akan menular Covid-19, sangat serius katanya di P188. Ada lagi mainan mereka (pembangkang) kononnya akan ada orang disuruh pengsan di tempat mengundi kerana Covid-19.

“Bukan Covid-19 itu, itu wayang dan sandiwara supaya mereka nak pengundi lari bertempiaran balik,” katanya ketika berkempen di Silam yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.

Beliau juga mendakwa, ada pihak cuba menyogok pengundi untuk berpura-pura pengsan pada hari membuang undi.

“Tau-tau orang yang pengsan itu dikasi (diberi) duit untuk pura-pura pengsan,” katanya.

Sebelum ini, bekas menteri persekutuan itu dikritik hebat oleh pemimpin pembangkang kerana memberi ucapan berbaur penghinaan terhadap anggota keselamatan yang menggadai nyawa mempertahankan kedaulatan negara.

Mohammadin didakwa menyifatkan pengorbanan anggota keselamatan dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu sebagai “sandiwara”.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah