Rakyat Sabah jangan takut keluar mengundi, kata 7 calon PKR

PRN Sabah ke-16 menyaksikan 447 calon daripada 16 parti dan Bebas bertanding merebut 73 kerusi DUN yang dipertandingkan. Seramai 1.12 juta pengundi layak mengundi dengan SPR meramalkan peratus keluar mengundi sebanyak 75%.

PETALING JAYA: Calon PKR bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah memberi amaran kepada pihak yang cuba mengelirukan dan menakutkan rakyat negeri itu berhubung kemasukan rakyat negara jiran untuk membuat kacau pada hari mengundi.

“Rakyat Sabah tidak perlu takut untuk keluar mengundi pada 26 Sept ini.

“Kedudukan serta hak milik Sabah tidak wajar dipolitikkan. Kami percaya setiap rakyat Malaysia berdiri teguh atas fakta bahawa Sabah adalah milik Malaysia,” menurut kenyataan bersama 7 calon PKR Sabah, hari ini.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali mengesahkan pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari mengundi.

Calon PKR bagi DUN Api-api Christina Liew.

7 Calon PKR itu, iaitu Christina Liew yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-api, Mustapha Sakmud (Tempasuk), Peto Galim (Inanam), Abdul Rahman Yakub (Klias), Raymond Ahuar (Sook), Alijus Sipil (Tamparuli) dan Sazalye Donol Abdullah (Matunggong) juga meminta rakyat supaya bertenang dan tidak memperbesarkan isu berkenaan.

“Kami yakin professionalisme pihak polis, Jabatan Imigresen, tentera dan pihak berkuasa yang lain dalam memastikan keselamatan rakyat.

“Rakyat Sabah cukup matang dan akan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa bagi memastikan PRN Sabah berlangsung dengan lancar,” menurut kenyataan itu.

447 calon daripada 16 parti dan Bebas diumumkan bertanding bagi merebut 73 kerusi DUN dalam PRN Sabah kali ke-16 kali ini, berbanding 252 calon yang bertanding dalam pilihan raya umum 2018.

Seramai 1.12 juta pengundi layak mengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meramalkan peratus keluar mengundi sebanyak 75%.

Tarikh pengundian ditetapkan pada 26 Sept dengan pengundian awal dijadualkan esok membabitkan 16,877 pengundi di 55 pusat mengundi.

PRN Sabah diadakan berikutan pembubaran DUN negeri itu pada 30 Julai lepas.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah