Akses bagi pesakit Covid-19 mengundi PRN Sabah mesti diberi, kata Maria Chin

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menggesa pesakit yang ingin membawa kes ke mahkamah, menuntut SPR mengambil tanggungjawab supaya melaksanakan peraturan norma baharu bagi pesakit positif Covid-19 mengundi.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah hari ini berkata, akses kepada hak untuk mengundi mesti diberikan kepada pengundi bukannya ditetapkan mana-mana pihak termasuk menteri atau pemerintah, susulan keputusan Putrajaya tidak membenarkan pesakit Covid-19 mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, prinsip asas bagi pilihan raya adalah setiap rakyat berhak mengundi dan apa saja cara perlu dilakukan bagi memastikan setiap rakyat menjalankan tanggungajawabnya seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun saya bersetuju mereka yang diuji positif Covid-19 tidak boleh keluar mengundi tetapi saya terkejut, menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memikirkan cara untuk mengambil langkah alternatif bagi memastikan pesakit ini dapat mengundi.

“Sekiranya langkah alternatif dapat diambil untuk mereka yang berada dalam proses kuarantin secara sendiri, maka langkah norma baharu harus diatur untuk menampung pesakit Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, individu yang disahkan positif Covid-19 tidak akan dibenarkan mengundi pada PRN Sabah Sabtu ini.

Ismail berkata, individu yang positif adalah kategori ke-4 dalam senarai pengundi dan tindakan itu diambil kerana bimbang penularan yang mungkin berlaku di luar kawasan kuarantin.

Maria berkata, keputusan Putrajaya tidak membenarkan pengundi mengundi secara tidak langsung melepaskan hak mereka sebagai rakyat, kecuali pesakit berkenaan memilih untuk tidak mengundi akibat terlalu sakit.

“Saya menggesa pesakit yang ingin membawa kes ini ke mahkamah, menuntut SPR mengambil tanggungjawab supaya melaksanakan peraturan norma baharu bagi pesakit positif Covid-19 ini mengundi.

“Saya pasti akan menyokong tindakan berkenaan, sekiranya SPR sendiri enggan melindungi hak pengundi untuk mengundi,” katanya.

Katanya, dalam tempoh berbaki 4 hingga 5 hari akan datang, Putrajaya dan SPR perlu menyediakan peraturan norma baharu bagi pesakit Covid-19 supaya mereka dapat membuang undi.

“Sebenarnya, penyusunan ini hanya untuk 1,129 kes positif Covid-19 dan bukan berjuta-juta kes. SPR di negara lain, seperti Indonesia mengambil langkah tambahan untuk menghantar kotak undi ke rumah sakit bagi memberi peluang mereka mengundi,” katanya.