Cara terbaik kekalkan kesegaran makanan dalam peti sejuk anda

Menyimpan makanan di tempat yang sepatutnya akan mengekalkan kesegaran lebih lama.

Menyimpan makanan di dalam peti sejuk tidak menjamin makanan tahan lama atau selamat untuk dimakan. Sering kita dapati makanan tersebut cepat berkulat atau mudah rosak.

Namun bagaimana sebenarnya cara menyimpan makanan yang terbaik menurut ruangan yang ada di dalam peti sejuk? Mari kita lihat bahan makanan yang bersesuaian dengan rak-rak yang terdapat di dalam peti sejuk.

Rak Daging

Rak ini agak dingin namun tidak sampai beku dan ianya sesuai menyimpan daging yang diproses atau produk deli seperti sosej dan makanan tenusu. Namun begitu, pastikan makanan ini telah pun dimasak dan tidak disimpan bersama dengan daging mentah (yang lebih elok disusun di rak bawah).

Rak Atas

Rak ini mempunyai suhu yang paling konsisten dan ia sesuai untuk menyimpan makanan yang mudah rosak seperti lebihan makanan atau makanan yang sudah dimasak.

Rak Bawah

Sesuai untuk menyimpan makanan mentah seperti daging, ayam, dan ikan mentah disebabkan suhunya yang lebih sejuk. Sebarang risiko jangkitan kuman atau bakteria juga lebih rendah memandangkan lokasi dan keadaan rak ini yang sejuk boleh membendung jangkitan kuman dari satu bahan makanan ke bahan makanan yang lain.

Namun begitu, pastikan anda menyimpan makanan anda dalam bungkusan atau bekas yang rapi.

Laci Sayuran dan Buah

Laci atau juga dikenali sebagai crisper ini telah direka supaya kelembapan di dalamnya bersesuaian dengan makanan yang ingin disimpan.

Contohnya, epal, anggur, beri, dan cili lebih tahan lama dalam kelembapan yang rendah. Namun berlainan pula halnya dengan sayuran hijau yang lebih menyukai kelembapan yang lebih tinggi.

Sekiranya anda inginkan sayuran yang lebih segar dengan lebih lama, anda boleh mengasingkan buah-buahan yang mengeluarkan gas ethylene daripada sayuran atau buah-buahan yang lain.

Laci untuk sayuran dan buahan telah dicipta untuk mengekalkan kelembapan suhu yang sesuai. (Gambar dari Rawpixel)

Peti Sejuk Beku

Sangat penting untuk mengetahui jenis makanan yang boleh disimpan dalam bahagian ini dan cara menyimpannya dengan baik.

Tauhu, pasta dan daging yang telah dimasak dan kekacang memerlukan bungkusan kedap lembapan apabila disimpan di sini untuk memastikan makanan kekal segar.

Aiskrim dan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi pula tidak memerlukan banyak persediaan dan tiada masalah untuk disimpan di dalam peti sejuk beku.

Pintu Peti Sejuk Beku

Bekas dan beg kedap udara perlu digunakan untuk menyimpan sayuran ataupun lebihan makanan beku sebelum disimpan di bahagian ini. Namun begitu, anda perlu ingat bahawa kualiti makanan akan semakin menurun apabila semakin lama disimpan di dalam peti sejuk beku!

Pintu Peti Sejuk

Bahagian ini paling sesuai untuk makanan yang lebih tahan lama kerana suhunya yang kurang sejuk berbanding dengan bahagian lain. Untuk bahagian bawah pintu peti sejuk, anda boleh menyimpan air botol, sos, jus, dan minyak.

Bahagian atas pula sesuai untuk menyimpan lepa susu atau marjerin yang tinggi kandungan lemak.

Wajar diambil perhatian bahawa setiap peti sejuk adalah berbeza. Jadi, penting buat anda membaca manual atau memohon bantuan daripada pakar untuk memastikan cara penyimpanan makanan yang terbaik.

Artikel ini telah diterbitkan di recommend.my – Malaysia’s #1 Platform Khidmat Naiktaraf Kediaman. Recommend.my juga menawarkan cara yang lebih selamat dan selesa untuk memilih golongan profesional yang terbaik untuk menaik taraf kediaman anda. Dapatkan akses ke ribuan kontraktor dan profesional tempatan dalam reka dalaman, lantai ,mahupun servis penghawa dingin hanya di hujung jari anda.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]