Kenyataan Mohamaddin berkait Lahad Datu jijik, kata Musa

Musa Aman (kiri) berkata, kenyataan Mohamaddin Ketapi menghina pasukan keselamatan yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara.

PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman menyelar kenyataan Calon Warisan di DUN Segama, Mohamaddin Ketapi mengenai pencerobohan Lahad Datu pada 2013 yang disifatkannya menjijikkan.

Katanya, bekas menteri pelancongan, seni dan budaya itu bercakap “dengan angkuh dan cuai” di khalayak ramai, serta mendakwa pencerobohan itu “sandiwara” ialah penghinaan terhadap 8 mangsa yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara.

Mohamaddin, yang dilaporkan berkata pasukan keselamatan negara “berperang dengan ayam dan anjing”, menafikan beliau memperkecilkan pasukan keselamatan dan berkata kenyataannnya disalah ertikan serta diambil di luar konteks.

Musa dalam kenyataan hari ini berkata, jika bukan kerana usaha pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara, “kempen Mohamaddin tidak mungkin boleh dijalankan dan beliau malah tidak boleh bergerak bebas seperti sekarang”.

Katanya, kenyataan “memecahbelahkan” seperti itu ialah ciri pemimpin Warisan dan meminta rakyat Sabah untuk berhati-hati serta menolak parti itu dalam Pilihan Raya Negeri Sabtu ini.

“Slogan perpaduan mereka kosong. Hakikatnya, Warisan punca kepada semua perpecahan. Pemimpin mereka mengindoktrinasikan pengikut mereka dengan mentaliti ‘Kami lawan mereka’ sejak pelancaran parti mereka 3 tahun lalu.”

Musa berkata, anggota tentera melaporkan terus kepada Agong, bukannya parti politik.

“Adakah dia (Mohamaddin) fikir perdana menteri mempunyai arahan tentera? Adakah itu sebabnya Warisan terdesak mahu menjadikan presiden mereka sebagai perdana menteri, walaupun itu bermaksud mengkhianati rakan mereka, PKR?”

Dalam klip video ucapan kempen 33 minit yang dimuat naik ke Facebook, Mohamaddin mendakwa pasukan keselamatan “mengebom kelapa sawit dan rumah” serta “pasukan di darat yang berperang dengan ayam dan anjing”.

“Bila pilihan raya (PRU 2013) berakhir, tiada lagi perang,” katanya sambil menambah semasa berkhidmat sebagai Adun sebelum ini, beliau tidak pernah menemui lanun bersenjata atau warga Filipina yang mahu mengisytiharkan perang atau menuntut semula Sabah.

Kenyataan beliau mengundang kritikan pelbagai pihak dengan pemimpin Umno Sabah, Abdul Rahman Dahlan menggesa Presiden Warisan, Shafie Apdal menuntut Mohamaddin memohon maaf berhubung kenyataan itu.

Presiden Parti Cinta Sabah, Anifah Aman turut menyelar kenyataan bekas menteri itu dengan berkata, ia penghinaan kepada pasukan keselamatan dan orang yang mereka sayangi.

Pada 11 Feb 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu menceroboh perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, mencetuskan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia yang berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan negara dan 6 orang awam.

Pengganas yang masih hidup kemudiannya ditangkap dan konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.