Keputusan permohonan batal saman Dr M berhubung pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, timbalan 10 Nov

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan timbalannya Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 10 November ini bagi membuat keputusan terhadap permohonan Azhar Azizan Harun dan Azalina Othman Said serta 2 lagi untuk membatalkan saman bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta 4 individu lain berhubung pelantikan Azhar dan Azalina, masing-masing sebagai Yang di-Pertua dan timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan yang panjang lebar daripada kedua-dua pihak hari ini.

Pada 23 Julai lepas, Mahathir dan anaknya yang juga bekas Menteri Besar Kedah Mukhriz serta bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik, ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula bagi mencabar pelantikan Azhar dan Azalina.

Lima plaintif terbabit turut menamakan Timbalan Yang di-Pertua Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin sebagai defendan ke-3 dan ke-4 masing-masing.

Pada prosiding hari ini, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azhar dan Rashid menghujahkan bahawa anak guamnya bertindak dalam bidang kuasa yang diperuntukkan kepada mereka oleh Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau juga berkata, keesahan proses pemilihan Azhar dan Azalina di Dewan Rakyat tidak boleh dipersoalkan oleh mahkamah menurut Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.

Amer berkata, pelantikan defendan pertama (Azhar) sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat selaras dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan defendan ke-3 (Rashid) telah bertindak berdasarkan kuasa yang ada padanya dan beliau berhak melaksanakan semua kuasa Yang di-Pertua menurut Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.

“Sehubungan itu, semua keputusan dan ketetapan yang dibuat oleh defendan ke-3 semasa persidangan Parlimen adalah muktamad dan tidak terbuka kepada rayuan menurut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 43 dan 99.

“Semua keputusan yang dibuat oleh defendan pertama dan ke-3 tidak boleh dipersoalkan dan saman pemula itu jelas tidak boleh diteruskan,” katanya.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili semua plaintif pula berkata, Perkara 63 (1) bukan sekatan muktamad dan mahkamah masih mempunyai bidang kuasa untuk menghakimi keputusan dan ketetapan Dewan Rakyat yang dibuat tanpa bidang kuasa, dan atau keputusan sedemikian tidak sah, dan apabila Dewan Rakyat melangkaui had perlembagaan atau undang-undang.

Beliau juga berkata Dewan Rakyat tidak mempunyai bidang kuasa atau kuasa untuk melantik Azhar dan Azalina sebagai Yang di-Pertua dan timbalan Yang di-Pertua kerana plaintif dan ahli Parlimen yang lain dihalang daripada menamakan calon mereka.

“Ada 2 calon masing-masing bagi jawatan berkenaan pada 13 Julai, justeru perbahasan dan pengundian perlu dilaksanakan namun tiada perbahasan atau pengundian diadakan dalam kes ini. Memandangkan Dewan Rakyat tidak ada bidang kuasa atau kuasa untuk menjalankan proses yang berlangsung pada 13 Julai, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan,” katanya, menambah sehubungan itu mahkamah harus menolak permohonan defendan.

Dalam saman pemula mereka, kelima-lima plaintif memohon perisytiharan bahawa jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kosong sejak 13 Julai dan pelantikan Azhar dan Azalina tidak sah kerana tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 3, 4, 6 dan 47 dan/atau kedaulatan undang-undang.

Mereka juga menuntut perisytiharan bahawa tempoh 14 hari bagi setiap ahli menamakan calon untuk jawatan Yang di-Pertua dan timbalan Yang di-Pertua bermula dari tarikh usul mengosongkan jawatan itu diluluskan.

Mereka juga memohon perintah supaya Yang di-Pertua dan timbalannya sekiranya jawatan itu dikosongkan semasa perjalanan persidangan berlangsung, hendaklah melalui proses pencalonan, perbahasan dan pengundian cukup bilangan oleh ahli Dewan Rakyat untuk menjadikan 1 proses pelantikan yang sah.

Antara alasan yang dikemukakan dalam saman itu ialah tindakan defendan ke-3 (Rashid) yang membuat penetapan dengan memaklumkan bahawa cuma ada 1 calon bagi tujuan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu, adalah tidak sah.

Ini kerana tidak ada peluang diberi oleh defendan ke-3 (Rashid) dan ke-4 (Nizam Mydin) kepada semua ahli Dewan Rakyat untuk memajukan pencalonan dan/atau perbahasan dan/atau pengundian bagi mengisi kerusi Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam masa 14 hari sebelum mana-mana mesyuarat lanjutan bagi tujuan pelantikan diadakan.

Plaintif juga mendakwa tindakan defendan ke-4 untuk memasyhurkan dan/atau memanggil Azhar dan Azalina mengambil tempat sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak sah.