Mahkamah Persekutuan benar SIS cabar peruntukan Enakmen Islam Selangor

Pada 27 Ogos lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

PUTRAJAYA; Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar 1 peruntukan bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengkaji semula fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri itu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Mohd Yusof memberikan kebenaran kepada SIS untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

SIS memohon kebenaran itu untuk mendapatkan 1 deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah.

Seksyen 66A menyatakan Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas bawah Enakmen ini.

SIS memfailkan permohonan itu pada Januari lepas dan menamakan kerajaan negeri Selangor sebagai responden.

Pada 27 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Nordin Hassan (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam Undang-Undang Syariah sambil menambah bahawa isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-Undang Syariah dan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, Seksyen 66A adalah ruang untuk memohon semakan kehakiman terhadap jawatankuasa fatwa di Mahkamah Tinggi Syariah.

Selepas Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan itu, peguam SIS Forum iaitu A Surendra Ananth memaklumkan media bahawa mereka mempunyai tempoh selama 2 minggu untuk memfailkan petisyen manakala kerajaan negeri diberikan masa 2 minggu untuk memfailkan pembelaan.

Beliau berkata, rayuan SIS terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman pertubuhan itu belum selesai di Mahkamah Rayuan.

Turut hadir pada prosiding hari ini peguam Fahri Azzat yang mewakili SIS manakala kerajaan Selangor diwakili penasihat undang-undang negeri Salim Soib @ Hamid.