PBB perlu penambahbaikan, henti kesengsaraan perang, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata, inilah masanya untuk PBB menilai semula pencapaiannya, memperbaiki kelemahan dan menghapuskan semua rintangan yang menghalang kemajuannya.

PUTRAJAYA: Malaysia mahukan penambahbaikkan dan perubahan pada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana ramai menderita akibat konflik yang masih berlaku di beberapa bahagian di seluruh dunia, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“PBB terus kekal sebagai satu-satunya institusi global yang kita anggap milik semua.

“Walaupun kita akui organisasi ini agak baik dalam banyak perkara sepanjang 75 tahun penubuhannya, terutamanya dalam mempromosikan pembangunan sosial dan ekonomi, kita perlu jujur dan mengakui PBB boleh dikatakan gagal menyelamatkan beberapa generasi pewaris daripada kesengsaraan peperangan,” katanya ketika menyampaikan pendirian rasmi Malaysia di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) sempena ulang tahun ke-75 UNGA.

Ini merupakan ucapan sulung Muhyiddin di UNGA sejak menjadi perdana menteri Mac lalu. Mesyuarat ini diadakan secara maya disebabkan Covid-19 dan ucapan itu diprarakam di pejabatnya di Putrajaya.

Muhyiddin berkata, PBB amat diperlukan kini dan ia seharusnya sudah cukup lengkap – bukan hanya dari segi kebebasan politik, tetapi juga sokongan berterusan negara anggota dalam respons terhadap sebahagian masalah besar yang dihadapi dunia.

Katanya, inilah masanya untuk PBB menilai semula pencapaiannya, memperbaiki kelemahan dan menghapuskan semua rintangan yang menghalang kemajuannya.

Beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan penerimaan Deklarasi untuk Memperingati Ulang Tahun ke-75 PBB hari ini.

“Sejujurnya, kami percaya dalam memperingati ulang tahun ini, ia menampilkan peluang keemasan kepada komuniti antarabangsa untuk melakukan lebih baik.

“Jangan kita lepaskan peluang ini. Mari kita bergerak ke hadapan bersama dalam membina masa depan yang kita mahukan, dan PBB yang kita perlukan.”

Beliau turut menyuarakan kebimbangan negara tertentu dilihat tidak mengendahkan penjanjian PBB sejak beberapa tahun lalu.

Muhyiddin memberi contoh Perjanjian Paris yang merupakan pencapaian terbaik dalam menangani perubahan cuaca – kemuncak kepada usaha antarabangsa yang bermula di Sidang Kemuncak Bumi di Rio pada 1992.

“Kami juga mempunyai sejumlah instrumen dan konvensyen mengenai hak asasi manusia yang kebanyakannya mengambil beberapa tahun untuk dirumuskan. Instrumen sedemikian mengatur dan menentukan tindakan kita dalam membolehkan kita terus maju.

“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa negara mengabaikan perjanjian itu. Kita berharap ini dapat dihentikan. Kita perlu perhatikan apa yang dikehendaki dan diharapkan orang ramai.”

Sementara itu, PBB melancarkan inisiatif UN75 awal tahun ini, dengan orang ramai di seluruh dunia berkongksi aspirasi, harapan dan keutamaan untuk masa depan, dengan hampir 40,000 orang menjawab tinjauan itu dalam 3 bulan pertama ia dilancarkan.

Walaupun intepretasi terhadap penemuan tinjauan itu mungkin berbeza mengikut keadaan di negara masing-masing, mesej dan perkara yang dikongsi orang ramai  adalah jelas.

“Ini bukan bermakna komuniti antarabangsa tidak mengambil endah terhadap isu itu, sebaliknya kita bekerja keras mengusahakannya sejak bertahun-tahun lamanya.”

Muhyiddin seterusnya mengucapkan tahniah kepada Volkan Bozkir dari Turki atas pemilihannya sebagai presiden sesi ke-75 UNGA bertemakan “The Future We Want, the United Nations We Need: Reaffirming Our Collective Commitment To Multilateralism – Confronting Covid-19 Through Effective Multilateral Action”.

Beliau turut berterima kasih kepada Tijjani Muhammad-Bande dari Nigeria atas komitmen dan kepimpinannya pada sesi ke-74 UNGA yang amat mencabar akibat pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, semua negara dan individu perlu diberikan akses untuk vaksin Covid-19 selepas ia dihasilkan.

Katanya, dalam aspek itu, tidak patut wujud sebarang bentuk diskriminasi.

“Kita perlu ingat oleh kerana Covid-19 tidak mendiskriminasi, respons kita juga sepatutnya begitu.”

Beliau berkata, virus itu meragut banyak nyawa dan mendedahkan kapasiti sebenar serta keberkesanan sistem penjagaan kesihatan, ia juga memberikan impak sama besar terhadap sosio-ekonomi.