Penggunaan plastik di Malaysia ke-2 terbesar di Asia, kata WWF

Kajian WWF Malaysia menunjukkan dengan setiap individu di negara ini menggunakan 16.78kg plastik setahun. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Penggunaan plastik di negara ini yang ke-2 terbesar di rantau Asia dengan purata setiap individu menggunakan 16.78kg plastik setahun, menurut kajian Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia.

Laporan bertajuk “Kajian Penilaian Skim EPR untuk Pembungkusan Sisa di Malaysia” menunjukkan angka itu jauh lebih banyak daripada negara dengan penduduk lebih ramai, termasuk China, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam dalam jumlah sampah yang dihasilkan.

Justeru, ia mengesyorkan keperluan sistem pengurusan pembuangan plastik secara menyeluruh di Malaysia bagi menangani masalah yang semakin membimbangkan itu.

Ketua Program Pasaran Lestari WWF Malaysia, Adrian Choo berkata, laporan itu menunjukkan negara ini mempunyai infrastruktur mencukupi untuk memproses bahan buangan kitar semula pada skala besar.

Bagaimanapun, katanya, selain memproses dan mengitar semula sampah yang dihasilkan di negara ini, sebilangan besar syarikat kitar semula dan pengagregat tempatan mengimport barang kitar semula.

“Ini disebabkan tiada pemisahan sistematik dan kitar semula bahan bernilai rendah yang merangkumi pembungkusan pelbagai lapisan dan plastik campuran.

“Akibat bergantung kepada sistem pengumpulan dan pelupusan ketika ini, bahan kitar semula berpotensi berakhir di tempat pembuangan sampah dan akhirnya terlepas ke laut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kira-kira 4.8 juta hingga 12.7 juta tan plastik memasuki lautan setiap tahun, dengan sebahagian besarnya terlepas ke Lautan Hindi dan Pasifik.

Berdasarkan trend semasa, jumlah sampah plastik akan meningkat 4 kali ganda antara 2010 dan 2050 yang bermaksud lautan akan mengandungi lebih banyak plastik berbanding ikan.

Justeru, Choo berkata, WWF Malaysia mengenal pasti skim Kewajipan Lanjutan Pengeluar (EPR) sebagai dasar kritikal dan berkesan dalam usaha mendidik pengilang untuk bertanggungjawab terhadap kesan hayat akhir produk dan pembungkusan plastik mereka.

“Secara tidak langsung, EPR akan menjadi instrumen dasar dalam penerapan reka bentuk eko holistik dalam kalangan sektor perniagaan.

“Kami percaya langkah pertama yang mewajibkan skim ini ke arah menyediakan asas kewangan bagi pengumpulan, pengasingan dan kitar semula bahan pembungkusan sistematik berskala besar.”

Namun, katanya, bagi menggerakkan EPR diubah suai ini, penemuan WWF Malaysia menekankan tanggungjawab melaksanakannya harus dipikul Organisasi Tanggungjawab Pengeluar (PRO) sebagai sistem operator dengan pemantauan dan sistem kawalan ketat oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, tiada yang luar biasa atau baru mengenai skim EPR. Kerajaan di negara berpendapatan rendah dan pertengahan sudah mula memperkenalkan atau merangka undang-undang mengenai EPR.

“Syarikat dan komuniti perniagaan juga memberi komitmen berdasarkan skim EPR untuk mempercepatkan peralihan kepada pengurusan sisa lestari dan ekosistem ekonominya.”