Penyamun bersenjata parang larikan kenderaan bawa emas di KL

Pacuan 4 roda mangsa dijumpai dalam keadaan terbakar di Damansara semalam.

PETALING JAYA: Sekumpulan penyamun bersenjatakan parang melarikan emas dan wang tunai dari seorang jurujual emas Lebuhraya Besraya di Kuala Lumpur semalam.

Menurut polis, kejadian itu berlaku pada 3.35 petang ketika seorang jurujual untuk pengedar emas bersama seorang rakannya dalam perjalanan ke Sungai Besi dari Jalan Kuchai Lama melalui Lebuhraya Besraya sebelum ditahan 2 trak pikap hitam.

Tiga lelaki berbadan besar yang bertopeng ski dan bersenjata parang itu menghampiri kenderaan mangsa dan memecahkan cerminnya, sebelum menarik kedua-dua mangsa keluar dan melarikan pacuan 4 roda itu bersama wang tunai dan emas.

“Pengadu dan rakannya mengalami kecederaan akibat serpihan cermin yang dipecahkan. Anggaran kerugian masih dalam siasatan,” kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Zairulnizam Mohd Zainuddin dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jurujual itu dan rakannya mempunyai urusan jual emas kepada beberapa kedai emas di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, kenderaan mangsa ditemui terbakar di Damansara, Petaling Jaya.

Katanya, polis sedang mengesan semua suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 03-2297 9222.