Sarawak bina sekolah antarabangsa lahir pelajar kompetitif, mahir bahasa Inggeris

Abang Johari Openg berkata sekolah antarabangsa tidak lagi untuk mereka yang mampu tetapi bagi setiap rakyat Sarawak yang memenuhi kriteria pemilihan.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri memutuskan membina sekolah menengah antarabangsa sendiri bagi melahirkan pelajar kompetitif dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik.

Katanya, penguasaan bahasa Inggeris yang lemah menyumbang kepada kadar pengangguran dalam kalangan siswazah.

“Kita tidak kata sekolah kebangsaan atau bahasa lain tidak penting, tetapi kita tidak boleh menafikan, jika mahu anak-anak kita berdaya saing di peringkat antarabangsa, mereka perlu menguasai bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikain ketika berucap pada majlis pecah tanah projek sekolah antarabangsa pertama milik kerajaan negeri di Batu 12 Jalan Kuching-Serian hari ini.

Beliau berkata, Sarawak kaya dengan sumber semula jadi tetapi kekurangan dari segi bakat.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada sumber semulajadi untuk mengembangkan negeri kerana kita memerlukan bakat untuk membantu kita maju,” katanya.

Abang Johari berkata, sekolah antarabangsa akan membolehkan pelajar cemerlang dari luar bandar dan bandar dan dari semua kaum, malah dari keluarga berpendapatan rendah, bersaing sesama mereka.

“Sekolah antarabangsa tidak lagi (hanya) untuk mereka yang mampu tetapi bagi setiap rakyat Sarawak yang memenuhi kriteria pemilihan,” katanya.

Sementara itu Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri Michael Manyin Jawong berkata, Sarawak mencadangkan 5 sekolah menengah antarabangsa, termasuk 2 di Kuching, dan masing-masing 1 di Sibu, Bintulu dan Miri.

Katanya, sekolah pertama dilancarkan hari ini dijangka siap pada Disember 2022 dengan pendaftaran pertama dijadualkan awal 2023.

Katanya, setiap sekolah akan mempunyai kira-kira 500 pelajar dengan 100 pelajar di setiap tingkatan.