Shafie mohon maaf atas kenyataan pemimpin Warisan, tegas ia ‘disalah ertikan’

Presiden Warisan, Shafie Apdal, menyifatkan kenyataan pemimpinnya “spontan” dan “sama sekali tidak berniat untuk menghina”. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Presiden Warisan Shafie Apdal memohon maaf kepada setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat atas kenyataan calon DUN Segama Mohamaddin Ketapi berhubung insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

Shafie berkata, kenyataan pemimpin Warisan itu dikeluarkan secara spontan telah disalah erti, sama sekali tidak berniat untuk menghina perjuangan perajurit serta anggota keselamatan yang mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan rakyat dan negara.

“Sebagai bekas timbalan menteri pertahanan, saya amat memahami keperitan yang terpaksa ditempuh anggota keselamatan ketika menjaga sempadan negara terutama di pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan.

“Setiap anggota yang berada di perbatasan bukan sahaja bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan rakyat Malaysia, malah mereka juga terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua menteri Sabah sementara itu berkata, dalam berdepan pandemik Covid-19 beliau memahami dan menghargai peranan anggota keselamatan sebagai barisan hadapan menentang musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya.

“Atas rasa tanggungjawab itu saya memperuntukkan RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagihkan kepada semua ‘frontliners’ termasuk RM1 juta kepada polis dan RM1 juta kepada Kem Lok Kawi.

“Jumlah tersebut tidaklah banyak jika dibandingkan dengan risiko dan pengorbanan wira negara ini, namun itu membuktikan komitmen kerajaan Sabah meskipun agensi keselamatan bawah bidang kuasa persekutuan,” katanya.

Terdahulu Mohamaddin menafikan beliau memperkecilkan pasukan keselamatan yang mempertahankan negara semasa pencerobohan Lahad Datu dengan berkata, kenyataannya dipesongkan dan diambil di luar konteks.

Katanya, beliau sama sekali tidak memperkecilkan atau menghina pasukan keselamatan yang mengorbankan nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara, tetapi hanya mahu menunjukkan kegagalan kerajaan BN menambah baik aset pertahanan bagi menghalang insiden sebegitu berlaku lagi.

Menerusi video kira-kira 2 minit, Mohamaddin yang juga bekas menteri persekutuan mendakwa pasukan keselamatan mengebom “kelapa sawit dan rumah”, dan pasukan di darat “berperang dengan ayam dan anjing”.

“Bila pilihan raya (PRU 2013) berakhir, tiada lagi perang,” katanya, dengan menambah semasa bertugas sebagai Adun sebelum ini, beliau tidak pernah menemui lanun bersenjata atau warga Filipina yang mahu mengisytiharkan perang atau mengambil semula Sabah.

Beliau berkata, ramai orang terkorban dalam pertempuran Lahad Datu itu kerana “sandiwara”.

Pada 11 Februari 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, menyebabkan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia yang berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 pegawai keselamatan Malaysia dan 6 orang awam.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah