SPR tunggu Putrajaya putuskan kelayakan undi pesakit Covid-19

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memaklumkan 270 anggota polis di Sabah tidak dapat mengundi awal kerana sedang dikuarantin.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih menunggu keputusan rasmi Putrajaya berkaitan kelayakan mengundi individu yang sedang menjalani kuarantin, termasuk positif Covid-19 pada Pilihan Raya Negeri 26 Sept ini.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya dimaklumkan satu mesyuarat diadakan hari ini di peringkat persekutuan membabitkan polis, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara berkaitan perkara itu.

Beliau berkata, SPR hanya menanti keputusan mesyuarat itu dan pada masa sama, akan melihat apa yang boleh dilakukan jika golongan itu dibenarkan mengundi.

“Kita akan melihat dari aspek perundangan memandangkan proses undi awal sudah pun berlangsung hari ini, manakala dalam tempoh 3 hari lagi akan berlangsung hari pengundian,” katanya selepas melawat pusat pengundian awal di mes pegawai kanan polis di Kepayan.

Ghani menjawab pertanyaan sama ada terdapat tarikh lain untuk individu positif Covid-19 dan dalam kuarantin menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memaklumkan terdapat 270 anggota polis di Sabah yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab pengundian awal kerana sedang dikuarantin.

Seramai 16,877 individu layak mengundi awal hari ini dan peratusan keluar mengundi ialah 35% setakat 10 pagi tadi.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah