Agong tak terikat ikut nasihat PM bubar Dewan Rakyat, kata peguam

Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong melantik perdana menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat atau pertimbangannya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahlinya.

PETALING JAYA: Hanya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat bagi pilihan raya umum diadakan jika ada “alasan yang sah”, kata seorang peguam.

Bastian Pius Vendargon berkata bagaimanapun, Agong tidak terikat untuk mengikut nasihat perdana menteri.

“Perdana menteri mesti meletak jawatan bagi membolehkan Agong melantik ahli Parlimen lain untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya.

Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong melantik perdana menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat atau pertimbangannya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahlinya.

Ketika ini terdapat seramai 222 ahli Parlimen.

Bastian Pius Vendargon

Vendargon berkata, pelantikan itu mengikut budi bicara Agong dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Presiden PKR Anwar Ibrahim mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang dan beliau akan menghadap Agong dalam masa terdekat.

Vendargon berkata, terdapat preseden di mana Mahkamah Persekutuan dalam kes Perak menyatakan ketua kerajaan (perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri) mesti meletak jawatan sekiranya beliau kehilangan kepercayaan wakil rakyat yang dipilih secara majoriti.

“Sebilangan pemikir undang-undang menimbulkan keraguan tentang kebolehlaksanaannya pada Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan pusat,” katanya merujuk krisis perlembagaan Perak pada 2009 di mana kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu runtuh selepas 3 wakil rakyatnya mengisytiharkan diri sebagai Adun bebas mesra Barisan Nasional, memberikan BN majoriti di DUN.

Sementara itu, bekas hakim Gopal Sri Ram berkata mana-mana ahli Parlimen yang mempunyai majoriti berhak menghadap Agong.

“Tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Rakyat kerana Agong boleh mempunyai kerajaan untuk menjalankan urusan pentadbiran negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan dipimpin oleh individu yang memiliki majoriti ahli Parlimen, dan Kabinet akan dibentuk untuk menjalankan kuasa eksekutif.